Pelajar IKBN maut motosikal hilang kawalan di LPT2
KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah, Melaka maut dalam kemalangan di kilometer 292.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuantan petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 petang itu, mangsa, Abdul Mu’iz Isa, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15 dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku akibat motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan.
“Berdasarkan siasatan awal motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan, lalu motosikal menggelongsor ke sebelah kiri bahu jalan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada anggota badan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kemaman,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!