Rumah kongsi terbakar, 60 buruh asing sempat selamatkan diri
PASIR MAS - Kebakaran empat buah rumah kongsi di tapak pembinaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Lubok Jong di sini awal pagi tadi mengakibatkan 60 buruh asing yang bekerja di kawasan itu tinggal sehelai sepinggang.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran jam 1.10 pagi itu selepas semua mangsa berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 1.14 pagi.
"Seramai 15 anggota dari tiga buah balai iaitu Pasir Mas, Kota Bharu serta Rantau Panjang telah dikerah ke lokasi kejadian bagi tujuan menyelamat dan memadamkan kebakaran," katanya.
Menurutnya, punca dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!