Dugaan bertimpa 10 beranak
KUALA LUMPUR - Motosikal yang menjadi satu-satunya kenderaan bagi seorang bapa lapan anak untuk ke tempat kerja hilang dicuri dalam kejadian dua minggu lalu.
Keadaan itu menyebabkan lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu kini terpaksa berjalan kaki atau menumpang kenderaan rakannya untuk ke tempat kerja kira-kira 30 minit dari rumah sewa didiami di Taman Seri Sentosa di sini.
Lebih memeritkan, lima anaknya tidak dapat ke sekolah kerana tiada pengangkutan kerana sebelum ini lelaki berusia 35 tahun itu yang menghantar anak-anaknya ke sekolah menggunakan motosikal yang hilang itu.
Pendapatannya sebagai pengawal keselamatan tidak mampu membeli motosikal lain termasuk membayar van sekolah.
Sementara isterinya kini hanya bekerja sambilan selepas dibuang kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Kesulitan hidup lelaki itu yang digelar En A bersama isteri Pn N dan anak-anak berusia 12 tahun hingga sembilan bulan itu dikongsikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Facebooknya semalam.
Dugaan bertimpa dihadapi keluarga itu apabila perlu mengosongkan rumah sewanya bulan depan selepas gagal menjelaskan tunggakan sewa selama dua bulan.
Menurut Fahmi, keluarga itu akan dijadikan Keluarga Angkat Ahli Parlimen Lembah Pantai dan dibantu dalam bentuk keperluan.
"Setelah meneliti kes ini dengan rapi, saya telah memaklumkan kepada mereka bahawa saya akan ambil mereka sebagai Keluarga Angkat Ahli Parlimen Lembah Pantai.
"Saya akan usahakan beberapa bentuk bantuan termasuk rumah, pekerjaan dan pendidikan, " menurut perkongsian di Facebooknya selepas melawat keluarga itu semalam.
Katanya, beliau menyasarkan 100 keluarga di Lembah Pantai akan dibantu untuk keluar dari kemiskinan.
"Insya-ALLAH ia akan dilaksana dengan kerjasama pelbagai pihak dan institusi, demi masa depan warga Lembah Pantai yang lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!