Alasan hantar jeruk tapi dicekup memadu kasih dalam kereta
KULIM - Sepasang kekasih memberi alasan mahu menghantar jeruk mangga asam boi ketika dicekup sedang memadu kasih di dalam kereta di Kawasan Perindustrian Taman Sentosa, jam 9 malam tadi.
Pegawai Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), Azwan Azman berkata, pasangan berusia 24 dan 26 tahun itu dilihat mencurigakan berada di tempat gelap dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna kuning.
Menurutnya, tiga anggota polis dari unit MPV Balai Polis Lunas yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah telah membuat pemeriksaan mendapati terdapat pasangan kekasih terbabit di lokasi kejadian.
"Namun, pemandu dilihat duduk di kerusi penumpang belakang manakala kekasihnya di tempat duduk hadapan terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa sebelum cuba membetulkan pakaian dan seluar masing-masing," katanya.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri yang sah.
"Mereka bagaimanapun memberi alasan mahu membuat penghantaran jeruk asam mangga boi kepada pelanggan.
"Turut kelihatan beberapa botol jeruk berkenaan di dalam kereta tersebut," katanya.
Menurutnya, laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Lunas untuk tindakan lanjut dan pasangan kekasih berkenaan diarahkan hadir ke PADK pada Isnin ini untuk diambil keterangan.
"Kes akan disiasat bawah Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana berkhalwat.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!