Warga emas maut motosikal terbabas dalam petak sawah
ARAU - Seorang warga emas maut selepas motosikal roda tiga ditunggangnya terbabas lalu termasuk ke dalam petak sawah padi dalam kejadian di laluan mini tar Taman Guar Halban, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Leha Matt, 82, maut di tempat kejadian yang tidak jauh dari rumahnya.
Katanya, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal roda tiga dalam perjalanan dari kediamannya di Lorong 3, Kampung Alor Lancang, Jejawi menuju ke arah Mata Ayer.
"Bagaimanapun, mangsa hilang kawalan secara tiba-tiba dan terbabas sendiri menyebabkan motosikal roda tiga miliknya termasuk ke dalam kawasan petak sawah dipenuhi air.
"Mangsa ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dalam air dengan keadaan motosikal dinaiki warga emas terbabit menindih badan mangsa," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan maut di tempat kejadian namun punca kematian belum diketahui buat masa ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1980.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!