NGO kesal parti baharu Syed Saddiq guna singkatan nama Muda

Onn Mahathir mendakwa, logo dan identiti parti baharu itu mirip kepada NGO Muda.
Onn Mahathir mendakwa, logo dan identiti parti baharu itu mirip kepada NGO Muda.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Demokrasi Milenial Bersekutu (Muda) kesal apabila nama parti baharu bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggunakan singkatan nama yang sama.

Aktivis Muda, Onn Mahathir Md Nasir berkata, persamaan singkatan nama parti baharu itu dengan singkatan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk orang muda dianggotainya boleh mengelirukan terutama NGO Muda sudah bertapak terlebih dahulu di negeri ini.

Malah Onn Mahathir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang, Intergriti dan Antarabangsa Dewan Muda Johor (DMJ) mendakwa, logo dan identiti parti baharu itu juga mirip kepada NGO Muda.

"Dia boleh terus guna agenda untuk manipulasi dan tubuh seberapa banyak parti. Dia pernah gagal urus parti lama yang dia juga tubuhkan.

"Kita tak boleh lupa yang Syed Saddiq adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal. Muda akan terus bergerak untuk pastikan agenda Syed Saddiq tidak bertapak di Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq daftar Parti Muda Malaysia

Semalam Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu hadir ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di Putrajaya menghantar beberapa dokumen untuk pendaftaran parti baharu itu.

Menurut Syed Saddiq, Muda boleh disertai pelbagai kaum di Malaysia dan tiada had umur ditetapkan yang akan dipimpin anak muda daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Onn Mahathir berkata, idea untuk menubuhkan NGO Muda mula digerakkan pada 2018 di negeri ini yang tujuannya bukan untuk melawan UMNO atau Pemuda UMNO sebaliknya menjadi penghubung untuk anak muda yang non partisan.

Jelasnya, ini bagi memastikan mereka tidak menghukum UMNO melalui persepsi semata-mata dan antara langkah awal dilakukan pihaknya adalah melalui Speaker Corner dengan Trak Muda Tour di Johor.

"Anak-anak muda tempatan diberi peranan suarakan aspirasi dan tolak janji-janji PH. Tak mudah dan tak popular.

"Sehingga satu tahap, kita padukan tenaga jayakan Grand Finale Speaker Corner Pilihan Raya kecil (PRK) Tanjung Piai yang dibarisi anak muda non partisan bersama-sama pimpinan Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri dan Pusat," katanya.

Peranan NGO Muda katanya, adalah untuk melengkapi dan bukan melebarkan jurang generasi bermula daripada Pilihan Raya Umum ke-14 hingga ke hari ini yang secara konsistennya menolak PH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!