PRU15 lebih awal jika GRS menang di Sabah
KOTA BELUD - Pilihan Raya Umum ke-15 boleh diadakan lebih awal jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PRN Sabah penting kerana ia penentu masa depan negara khususnya kepada rakyat Sabah.
"Di peringkat nasional kita belum putuskan bila mahu adakan pilihan raya... tetapi di Sabah kalau kita sudah menang... kita cepat-cepatlah adakan pilihan raya di peringkat pusat.
"Apa yang penting PRN Sabah ini, adalah isyarat yang kita dapat diperoleh sama ada rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) atau rakyat mahu saya menjadi Perdana Menteri kerana kita mahu Malaysia bergerak maju ke hadapan dan kita mahu Malaysia berjaya. Salah satu cara untuk berjaya adalah terus bersama saya," katanya.
Beliau bercakap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri dengan penduduk tempatan di sini hari ini.
Acara itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Fairuz Renddan dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, rakyat Sabah perlu memastikan GRS menang dalam PRN Sabah agar kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan Pusat.
"Keputusan ada di tangan rakyat Sabah... kalau ada pilihan untuk membentuk kerajaan baharu... jangan lagi pilih Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana Pakatan Harapan (PH) sudah tiada dan tidak lagi memerintah negara.
"Takkan rakyat Sabah masih mahu pilih pembangkang dalam keadaan yang begitu kritikal ketika ini, dengan ekonomi merudum kerana Covid-19. Sebab itu situasi sukar ini kita perlu atasi dan sebab itu kita perlu kerajaan sehaluan," katanya.
Beliau berkata, pemulihan ekonomi negara perlu dilakukan secara bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Walaupun kita terbaik dalam menangani Covid-19 tetapi kita tidak mahu nanti negara kita akan jadi yang terburuk dalam pemulihan akibat kesan penularan Covid-19.
"Sekiranya kerajaan Sabah ini diterajui oleh GRS selepas PRN Sabah pada 26 September ini, saya berjanji akan membantu Sabah untuk memulihkan ekonomi seperti sebelum penularan Covid-19 atau lebih baik daripada itu," tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!