Kerajaan jamin pertahan Sabah daripada tuntutan pihak luar

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan memberi jaminan bahawa pihak keselamatan negara khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa siap siaga bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk ancaman daripada pihak luar yang ingin menuntut Sabah.

"Ada yang mengatakan kita (ATM) tidak bersedia, tidak mempunyai kemampuan untuk menjaga keselamatan,sempadan dan kedaulatan negara. Ingin saya nyatakan bahawa ATM sentiasa siap siaga menjaga keselamatan dan sempadan negara kita khususnya di Sabah.

"Suka juga saya nyatakan bahawa di pihak ATM, terus memperkasakan dan juga menambah kem-kem baharu pada keseluruhannya bagi Tentera Darat (TD) di Sabah," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) peringkat negeri Sabah di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, antaranya sebuah Briged Infantri; tiga batalion Infantri; tiga Rejimen Artileri; sebuah Rejimen Armor; dan sebuah Skuadron Pasukan Udara TD.

Katanya, selain itu TM akan menambah pos-pos kawalan sempadan sebanyak 19 buah bagi memperkukuh keselamatan negara.

"Bagi tentera laut kita akan menambah dari segi kapal perang, sebuah telah sampai di Kota Kinabalu manakala dua lagi akan sampai setelah proses pembinaan selesai.

"Kita akan tempatkan di Sepanggar dan kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sandakan. Begitu juga dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kita akan tambah aset," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, rakyat khususnya di Sabah tidak perlu bimbang mengenai keselamatan dan kedaulatan negara termasuk ancaman daripada pihak luar.

"Saya beri jaminan kepada rakyat Sabah, kita akan pertahankan kedaulatan Sabah, kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa walaupun ada pihak mahu melaksanakan rundingan dengan Filipina atas tuntutan mereka.

"Saya nyatakan di sini, tidak ada rundingan, kita tidak akan berunding dengan sesiapa kerana Sabah tidak ada tuntutan bertindih seperti beberapa pulau yang kita adakan rundingan. Sabah adalah hak kita dan kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!