Covid-19: Kes positif di Indonesia lepasi angka 236,000
JAKARTA - Indonesia mencatatkan 3,891 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 236,519.
Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 104,866 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.
Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 114 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 9,336 orang.
Provinsi Jakarta, yang kembali dikuatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula Isnin lepas, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 59,840 kes, dengan tambahan 1,258 kes baharu.
Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,922 orang, diikuti Jakarta (1,517), Jawa Tengah (1,203), Kalimantan Selatan (394), Sumatera Utara (389), Sulawesi Selatan (387) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!