Individu masuk ke Sarawak melalui Sabah perlu jalani ujian Covid-19
KUCHING - Sarawak mewajibkan semua termasuk warga asing yang ingin memasuki negeri itu dari Sabah menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum memulakan perjalanan, berkuat kuasa Isnin ini.
Timbalan Ketua Menteri I Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mereka juga perlu mengisi borang ‘EnterSarawak’ dalam talian dengan menyertakan dokumen sokongan yang diperlukan.
Bagi rakyat Malaysia yang menaiki penerbangan dari Pulau Pinang, ujian Covid-19 akan dijalankan secara rawak setibanya mereka di Lapangan Terbang Kuching.
“Bagi rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, mereka akan dikuarantin di ‘First Point of Entry’ di Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan DUN Lama, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi rakyat Sarawak yang perlu berulang-alik ke Brunei dan Sabah untuk tujuan kerja, mereka perlu mengambil surat khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing di Miri dan Limbang.
“Mereka (pekerja yang berulang-alik) juga dikehendaki mengambil ujian Covid-19 setiap dua minggu di samping sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!