Azroy optimis gegar Kuala Terengganu

Azroy muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 dengan catatan masa 49.062 saat (s) sepusingan hari ini.
Azroy muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 dengan catatan masa 49.062 saat (s) sepusingan hari ini.
A
A
A

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yakin menguasai saingan Pusingan Empat Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Permotoran Terengganu esok.

Keyakinan itu hadir selepas pelumba asal Selangor itu muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 dengan catatan masa 49.062 saat (s) sepusingan hari ini.

Meskipun keadaan cuaca kurang baik sepanjang dia mengharungi sesi tersebut, namun ia tidak menghalang Azroy untuk merekodkan catatan terbaik di litar sepanjang 1.371 kilometer (km) itu.

Rentak yang dipamerkan oleh Azroy pada saingan hari ini membuktikan kesungguhannya untuk terus berada di podium seperti mana yang dipamerkannya dalam tiga pusingan terdahulu malah, dia merupakan juara bertahan di litar ini selepas muncul juara pada saingan musim lalu.

Setakat ini, Azroy kekal konsisten menjejak kaki di podium kemenangan selepas muncul di tempat ketiga pada Pusingan Satu di Sepang diikuti dua gelaran naib juara di Tangkak (Pusingan Kedua) dan Sepang (Pusingan Ketiga).

Ketika ditanya mengenai prestasinya pada sesi kelayakan hari ini, Azroy menjelaskan bahawa semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Ketika saya mengharungi sesi kelayakan, keadaan cuaca tidak menentu dan saya membuat keputusan untuk mencatat masa terpantas lebih awal. Alhamdulillah, ia berhasil.

“Sekarang, fokus saya adalah untuk memastikan perlumbaan esok memihak kepada pasukan kami. Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik serta cuba untuk memimpin perlumbaan akhir nanti.

Artikel Berkaitan:

“Saya berasa amat yakin dan positif untuk menghadapi perlumbaan sebenar esok,” jelas Azroy.

Pada sesi hari ini, Azroy meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Helmi Azman (HI REV SCK Honda Racing) dengan perbezaan masa 0.218s.

Helmi yang muncul juara pada aksi Pusingan 3 di Sepang bulan lalu, menamatkan sesi kelayakan di kedudukan kedua dengan masa 49.280s sepusingan.

Tempat ketiga terpantas direkodkan oleh pelumba Petronas Sprinta Yamaha-KJ Racing, Md Aiman Tahiruddin dengan masa 49.306s.

Sementara itu, bagi kelas CP125, barisan pelumba ONEXOX TKKR SAG Team meneruskan rentak cemerlang mereka apabila menguasai tiga kedudukan teratas pada sesi kelayakan.

Md Shafiq Rasol unggul selaku pelumba terpantas dengan merekodkan masa 51.520s sepusingan diikuti rakannya, Md Hafiza Rofa di tempat kedua dengan masa 51.555s.

Tempat ketiga terpantas pula berada dalam genggaman Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX SAG Team) yang menamatkan sesi dengan masa 51.577s.

Esok, 10 pelumba terbaik sesi kelayakan hari ini akan sekali lagi beradu kemampuan untuk saingan Shoot-Out (CP125) dan Superpole (CP150) dalam misi memburu kedudukan petak sebelum mengharungi perlumbaan akhir pada sebelah petangnya.

Pada saingan musim lalu, aksi di Litar Permotoran Terengganu dimenangi Azroy (CP150) manakala kelas CP115 (kini ditukar ke CP125), dimenangi Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing. - YY Pang tahun ini dikenali IPONE Yamaha YYPang Racing Team.)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!