Kita orang baik, namun tidak semua orang suka kita

No Image Caption
A
A
A

HAKIKATNYA, kita adalah orang baik. Pun begitu, tidak semua orang suka kepada kita walaupun kita berasa sudah terbaik. Situasi itu samalah juga dengan diri kita sendiri yang tidak mempercayai seseorang walaupun mereka menganggap dirinya adalah yang terbaik.

Ia bermakna diri kita dan orang lain masih ada jurang kepercayaan yang cukup besar. Persoalannya, mengapa masih ada jurang sebegini sedangkan masing-masing mendakwa mereka adalah orang yang baik?

Sebetulnya, sejak kecil kita semua adalah baik. Namun, proses perkembangan hidup menjadikan ramai yang mendekati sifat buruk dan menjauhi sifat baik.

Pun begitu, sifat yang baik dan buruk adalah begitu relatif. Apa yang nyata, tidak semua yang baik bagi kita adalah baik bagi orang lain. Begitu juga dengan sifat buruk, tidak semua yang buruk bagi kita adalah buruk bagi orang lain.

Ketentuan sesuatu yang baik dan buruk banyak bergantung kepada budaya, fahaman agama dan latar belakang individu berkenaan.

Berkaitan dengan ciri-ciri orang yang baik, tiada sesiapa pun akan mengaku mereka jahat walaupun disabit kesalahan atas perlakuan jahat mereka. Kebanyakan mereka yang jahat menyalahkan orang lain yang menyebabkan mereka dianggap dan dihukum sebagai jahat.

Pendek kata, mereka adalah baik dan kebenaran tetap milik mereka. Selain itu, mereka yang baik sentiasa melihat kebaikan itu dari sudut pandangannya sahaja dan tidak mempedulikan sudut pandangan orang lain kerana yang penting, mereka hanya mempedulikan hak mereka tanpa mempedulikan hak-hak orang lain.

Jika ditegur, mereka tetap berasakan dirinya baik dan orang lain yang bermasalah dengan diri mereka. Tambahan pula, bagi mereka yang berkuasa, lagilah besar jurang dirinya dengan orang lain.

Artikel Berkaitan:

Apabila membicarakan dengan lebih mendalam konteks ‘kita orang baik’, kita sentiasa keliru dengan sikap orang lain yang memandang buruk kepada kita sedangkan diri kita adalah baik.

Keadaan itu menyebabkan kita mudah rasa kecewa dengan sikap mereka yang tidak menyukai kita. Berkaitan hal itu,kita sebenarnya keliru dengan hakikat kehidupan di dunia.

Jelas bahawa walaupun kita sentiasa menjadi yang terbaik sehinggakan terpijak semut pun tidak mati, mereka yang tidak menyukai kita tetap tidak menyukai kita.

Mereka yang membenci diri kita tetap percaya mereka adalah orang yang baik. Oleh itu, tidak perlulah membazir masa untuk berhadapan dengan mereka yang sesungguhnya membenci diri kita, sebaliknya perteguhkan diri mencari keredaan ALLAH SWT kerana itu lebih bermanfaat dan kekal.

Selain itu, kita juga kerap mengalami kesukaran untuk mengenali individu yang baik dan buruk perangainya.

Menurut beberapa kajian psikologi, kebanyakan individu begitu mudah terpengaruh dengan kebaikan kecil yang dilakukan seseorang tanpa usul periksa.

Kadangkala kita cukup teruja dengan bantuan individu yang sudi mengangkat barangan keperluan kita, sedangkan pada masa yang sama menyeludup dadah ke dalam beg kita.

Begitu juga yang sanggup membantu kita yang sesat jalan, walhal bertujuan untuk merompak.

Ingatlah, sebelum kita mengukur sikap kita yang baik, sesungguhnya dalam al-Quran telah menggariskan beberapa sifat buruk manusia, antaranya manusia bersifat terpedaya (surah Al-Infitar, 82:6), terburu-buru (surah Al-Isra, 17:11), suka membantah (surah An-Nahl, 16:4), kedekut (surah A-Isra, 7:100), zalim dan bodoh (surah Al-Ahzab, 33:72) dan suka berprasangka (surah Yunus, 10:36).

Berdasarkan panduan tersebut, kita sepatutnya sentiasa mengukur dan bermuhasabah diri adakah telah mencapai piawai bagi menjauhi sikap tersebut. Jika tidak, jangan mudah mendakwa ‘kita orang baik’.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Pensyarah Psikologi Kaunseling, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!