PRN Sabah: Calon semakin rancak berkempen

Muhyiddin (dua dari kiri) bersama calon Perikatan Nasional DUN Pintasan, Fairuz Renddan (kanan), calon BN DUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak (dua dari kanan) dan calon BN DUN Tempasuk, Mohd Arsad Bistari (kiri) pada majlis Ramah Mesra di Kampung Rampayan Laut hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (dua dari kiri) bersama calon Perikatan Nasional DUN Pintasan, Fairuz Renddan (kanan), calon BN DUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak (dua dari kanan) dan calon BN DUN Tempasuk, Mohd Arsad Bistari (kiri) pada majlis Ramah Mesra di Kampung Rampayan Laut hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin dirasai apabila calon dan parti politik mula meningkatkan kempen yang memasuki pertengahan tempoh berkempen 14 hari di sebalik pandemik koronavirus (Covid-19).

Sebaik sahaja proses penamaan calon selesai Sabtu lalu, hampir kesemua 447 calon mewakili 15 parti, khususnya pemimpin parti yang bertanding mula menumpukan kempen pada dua hari pertama di kawasan pilihan raya masing-masing.

Pengerusi UMNO Sabah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin umpamanya menumpukan masa kempennya di kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam kawasan Parlimen Kinabatangan.

Demikian juga dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Radin Malleh dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan lebih tertumpu di kerusi DUN masing-masing iaitu Senallang, Sulaman, Melalap dan Tambunan.

Namun kebelakangan ini, kelibat Hajiji, Mohd Shafie, Bung Moktar, Radin Malleh, Jeffrey dan beberapa peneraju parti sudah kelihatan di luar kawasan sendiri dan bergerak ke merata ceruk DUN Sabah membantu calon-calon mereka menghadapi lawan politik masing-masing.

Calon Parti Warisan Plus bagi kerusi kawasan Melalap yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Melalap, Datuk Peter Anthony (depan, kanan) ketika bertemu dengan para peneroka Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Lagud Seberang. -Foto Bernama
Calon Parti Warisan Plus bagi kerusi kawasan Melalap yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Melalap, Datuk Peter Anthony (depan, kanan) ketika bertemu dengan para peneroka Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Lagud Seberang. -Foto Bernama

Selain pemimpin tempatan, kehadiran pemimpin pusat seperti Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Muhyiddin Yassin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sudah kelihatan di Sabah untuk membantu berkempen bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada BN, Perikatan Nasional (PN) serta PBS.

Pemimpin DAP seperti Setiausaha Agung, Lim Guan Eng serta pemimpin kanan Gobind Singh Deo, Lim Kit Siang serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berada di Sabah untuk membantu kempen sekutu politiknya Warisan iaitu Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), PKR dan Amanah sama ada hadir di sesi ceramah atau turun padang untuk bertemu dengan pengundi.

Artikel Berkaitan:

Turut menarik perhatian kelibat bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman muncul buat kali pertama di gelanggang kempen pilihan raya sempena program perdana menteri di Beaufort semalam, sekali gus menyuntik semangat PN dan sekutunya mengharungi kempen PRN yang berbaki tujuh hari.

“Berjaga-jaga dengan orang ini. Kehadirannya mungkin mempengaruhi keputusan pilihan raya,” kata seorang pemerhati politik tempatan.

Bermula di Beaufort, Musa kini giat turun padang membantu GRS dan terbaru membantu calon PBS bagi kerusi DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang berdepan pertandingan enam penjuru menentang Presiden UPKO yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau sebelum beliau ke Tuaran.

Walaupun tumpuan ke arah pertembungan antara GRS dan Warisan Plus, namun kempen parti lain seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) tidak boleh dipandang sipi memandangkan mereka ada strategi tersendiri dengan bertanding di banyak kerusi.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (kiri) bersama calon PBS Kawasan DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai (dua dari kanan) pada program Ramah Mesra bersama para pengundi di Kampung Nawoi Kiulu. - Foto Bernama
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (kiri) bersama calon PBS Kawasan DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai (dua dari kanan) pada program Ramah Mesra bersama para pengundi di Kampung Nawoi Kiulu. - Foto Bernama

Hanya GRS, Warisan Plus dan PCS bertanding di kesemua 73 kerusi manakala USNO (47 kerusi), LDP (46), Gagasan (28 kerusi) dan PPRS (23 kerusi) dalam PRN edisi ke-16 ini.

Kerusi ‘panas’ yang menjadi tumpuan umum termasuk 17 kerusi yang menyaksikan ‘pertandingan persahabatan’, iaitu Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan and Tanjung Aru.

Dua lagi kerusi yang menjadi tumpuan ialah DUN Api-Api dengan penyandang Timbalan Ketua Menteri dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dicabar oleh barisan pemimpin parti dan calon berwibawa termasuk Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin; bekas ADUN dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Timbalan Presiden PCS, Datuk Pang Yuk Ming dalam saingan sembilan penjuru, manakala di DUN Sulaman, Hajiji bertembung dengan anak saudaranya, Datuk Aliasgar Basri mewakili Warisan dalam pertandingan enam penjuru.

Isu utama yang dibangkitkan dalam pilihan raya ini ialah soal hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri, hak Sabah, hasil kekayaan negeri, masalah kemudahan asas, soal parti tempatan dan parti dari Semenanjung, pendatang tanpa izin dan soal royalti petroleum.

GRS, USNO dan PCS telah mengumumkan manifesto masing-masing namun manifesto parti-parti lain belum kedengaran setakat ini.

Perang poster mewarnai seluruh pelusuk bandar, kampung dan kawasan pedalaman dalam kehangatan kempen kali ini.

Kempen dijangka bertambah hangat dalam minggu kedua nanti sebelum pengundi memilih kerajaan pilihan masing-masing pada 26 September ini.

Terdapat 1,103,646 pengundi pada pilihan raya kali ini yang diadakan susulan pembubaran DUN pada 30 Julai, sehari selepas Musa Aman mendakwa memiliki cukup majoriti untuk membentuk kerajaan negeri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!