Kemelut isu minyak dalam OPEC
BEBERAPA anggota Pertubuhan Pengeluaran Minyak (OPEC) dan sekutunya masih gagal menunaikan janji bagi mengurangkan pengeluaran minyak mentah dalam tempoh sehari sebagai cara untuk menaikkan semula harga komoditi itu.
Kenaikan harga pada paras yang dianggap stabil ketika ini amat penting berikutan penurunan permintaan ekoran menularnya pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia sejak ia mula dikesan di Wuhan, China pada tahun lalu.
Sebelum ini harga penanda aras komoditi minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) di Amerika Syarikat (AS) jatuh 24.5 peratus pada 6 April lepas atau AS$10.15 (RM41.89) kepada AS$31.13 (RM128.49) bagi setiap satu tong.
Harga minyak mentah yang rendah di pasaran mampu mengurangkan kos kehidupan namun, bagi negara-negara pengeluar komoditi itu, ia juga akan mengurangkan pendapatan sekali gus mengecilkan saiz belanjawan.
Syarikat-syarikat minyak yang besar di Amerika Syarikat (AS) juga mengalami kemerosotan pemerolehan dan berdepan masa depan yang gelap kerana ia diniagakan pada harga lebih AS$20 (RM82.55) satu tong pada bulan April lalu.
"AS$30 (RM123.83) bagi satu tong adalah amat teruk tetapi jika anda mendapat AS$20 (RM82.55) atau AS$10 (RM41.28), ia betul-betul satu igauan yang mengerikan," kata Artem Abramov iaitu ketua penyelidikan minyak di syarikat Tenaga Rystad kepada CNN.
Kesan harga yang rendah sehingga AS$20 (RM82.55) satu tong itu menyebabkan syarikat Tenaga Rystad menganggarkan sebanyak 533 syarikat penerokaan dan pengeluaran bahan komoditi tersebut di AS akan memfailkan kebankrapan pada akhir tahun 2021.
Perang harga minyak mentah melibatkan Arab Saudi dengan Rusia pada Mac lalu juga mendorong kejatuhan harga tersebut.
Moscow enggan mengurangkan pengeluaran minyak sebagai cara untuk menaikkan harga menyebabkan Riyadh dikatakan meningkatkan pengeluaran minyak kepada 12.3 juta tong sehari daripada 9.7 juta tong sehari sekali gus menyebabkan kejatuhan harga.
Bagaimanapun, perang tersebut berakhir selepas Presiden AS, Donald Trump campur tangan dan mendorong anggota OPEC serta sekutunya bertindak mengurangkan pengeluaran minyak mentah bermula pada bulan Mei lalu.
Trump ketika itu turut menyatakan menerusi Twitter bahawa ribuan pekerjaan tenaga di AS dapat diselamatkan ekoran berakhirnya perang tersebut.
Harga minyak mentah yang rendah di pasaran mampu dilihat mengurangkan kos kehidupan namun, bagi negara-negara pengeluar komoditi itu, ia juga akan mengurangkan pendapatan sekali gus mengecilkan saiz belanjawan.
Banyak syarikat minyak yang mengambil terlalu banyak hutang ketika waktu mewah tetapi sebahagian daripadanya tidak mampu untuk bertahan dalam perniagaan ekoran kejatuhan harga sebelum ini.
Justeru, persetujuan yang dicapai pada April lalu dalam kalangan anggota pertubuhan itu dan sekutunya supaya pengeluaran minyak dipotong sebanyak 9.7 juta tong sehari dari 1 Mei dan berakhir pada Jun lalu.
Berdasarkan satu perjanjian, pemotongan itu kemudian diteruskan tetapi dikurangkan kepada 7.7 juta tong sehari sehingga akhir tahun ini sebagai salah satu cara untuk menstabilkan semula harga minyak.
Pemotongan itu juga akan berkurangan lagi kepada 5.8 juta tong sehari dari Januari tahun depan sehingga April 2022.
Bagaimanapun, satu laporan teknikal yang didedahkan pada mesyuarat sekumpulan anggota itu baru-baru ini menunjukkan hanya enam buah anggota OPEC dan negara sekutunya yang mematuhi pengurangan pengeluaran minyak tersebut bagi tempoh Mei hingga Ogos lalu.
Sehubungan itu, Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman dalam satu ucapannya pada mesyuarat OPEC dan negara sekutunya baru-baru ini meminta janji pemotongan pengeluaran minyak sehari itu ditunaikan oleh anggota OPEC dan anggota sekutunya.
"Pematuhan penuh bukanlah satu tindakan amal. Ia merupakan satu bahagian daripada usaha kolektif kita untuk memaksimumkan kepentingan dan meraih keberuntungan bagi setiap anggota kumpulan itu.
"Dan pematuhan itu merupakan satu keputusan terbaik yang telah kita semua putuskan dengan kesanggupan dan kebertanggungjawaban," katanya pada sesi mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pemantau Ministerial yang dibuat secara maya.
Menurutnya, taktik pengeluaran minyak berlebihan dan tidak kepatuhan pemotongan minyak itu telah cuba dilakukan banyak kali pada masa lalu tetapi ia berakhir dengan kegagalan, ujar menteri tersebut yang juga abang kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel baru-baru ini dilaporkan mengeluarkan minyak melebihi kuota yang ditetapkan oleh OPEC untuk bulan Ogos lalu.
Alasan yang diberikan UAE itu adalah kerana cuaca panas dan permintaan tenaga elektrik yang meningkat berikutan ramai penduduk yang berehat di rumah kerana pandemik Covid-19.
Sebuah lagi negara anggota OPEC, Iraq juga dilaporkan menerima tekanan daripada pertubuhan itu supaya mengurangkan pengeluaran minyak kerana ia melanggar kuota yang ditetapkan bagi bulan Mei, Jun dan Julai.
Menurut poral Oilprice.com, OPEC dan anggota sekutunya, Iraq dan beberapa negara yang melanggar kuota pengeluaran minyak mentah itu diberi tempoh sehingga hujung September ini untuk mengurangkan pengeluaran komoditi itu.
Satu perkembangan yang positif berikutan tindakan OPEC itu ialah harga minyak mentah naik buat kali keempat berturut-turut pada Jumaat lalu apabila harga minyak mentah Brent naik AS$0.18 sen (RM0.72) kepada AS$43.48 (RM179.05) bagi setiap satu tong. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!