KFA mohon lanjut tempoh dua minggu

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) memohon pertimbangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan tempoh melengkapkan proses pelesenan kelab ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar sejak 11 September lalu.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KFA meminta FAM untuk melanjutkan tempoh dua minggu lagi sehingga 2 Oktober ini bagi membolehkan pihaknya menyelesaikan segala dokumentasi yang diperlukan.

Menurutnya, KFA berdepan kesulitan menyediakan beberapa dokumen berkaitan berikutan pejabat agensi kerajaan terlibat tidak dibenarkan beroperasi sehingga 25 September ini.

“Ini menyebabkan dokumen yang diperlukan seperti penyata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sukar dilengkapkan, jadi urusan pembayaran dan penyusunan bayaran tunggakan turut tergendala,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, kesulitan itu timbul berikutan pelaksanaan PKPD di Kota Setar yang merupakan pusat pentadbiran negeri Kedah.

“Ia bukan disengajakan. Saya mohon pengecualian khusus untuk Kedah selama dua minggu lagi,” katanya.

Pada 14 September lalu, Muhammad Sanusi merayu kepada FAM untuk melanjutkan tempoh melengkapkan dokumen proses pelesenan kelab yang sepatutnya diserahkan pada 15 September.

Difahamkan, dokumen pelesenan skuad Lang Merah mencapai tahap 98 peratus, malah hanya beberapa perkara perlu diselesaikan antaranya tunggakan gaji kepada pemain Lang Merah sebelum dokumen terbabit diserahkan kepada FAM.

Artikel Berkaitan:

“Pihak pengurusan KFA juga dalam proses melunaskan semua bayaran tertunggak termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan LHDN,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memberi ‘lampu hijau’ kepada FAM untuk mengecualikan KFA daripada menyelesaikan proses pelesenan kelab yang sepatutnya berakhir 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Stuart berkata, keperluan untuk menyambung tempoh lanjutan kepada KFA selepas tempoh sedia ada tamat bergantung kepada kelulusan AFC.

“Kita memahami pelaksanaan PKPD memberi kesan kepada KFA menyerahkan dokumen-dokumen terlibat kepada FAM. AFC juga peka dan faham dengan situasi yang melanda Kedah ketika ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!