Tiket mahal, kes Covid-19 faktor perantau tak pulang mengundi
KOTA KINABALU - Peningkatan jumlah kes koronavirus (Covid-19) dan harga tiket penerbangan mahal antara faktor ramai rakyat Sabah yang menetap di semenanjung dan Sarawak tidak pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Suri rumah, Salinah Ngaimin, 50, yang merupakan salah seorang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru berkata, dia tidak bercadang pulang ke Sabah untuk mengundi walaupun sudah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dia yang berasal dari Sembulan berkata, dia sudah menetap di Subang Jaya, Selangor sejak enam tahun lalu selepas mengikuti suaminya yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah sebuah syarikat insurans.
"Saya tidak balik mengundi kerana jadual kerja suami padat, malah tiket penerbangan pun mahal. Saya juga bimbang peningkatan kes Covid-19 di Sabah.
"Saya pernah memohon untuk mengundi pos tetapi difahamkan proses itu hanya diberikan kepada sektor tertentu sahaja," katanya.
Dianggarkan ada lebih 20,000 komuniti Sabah yang berada di beberapa buah negeri di semenanjung dan Sarawak bekerja dalam pelbagai sektor.
Penjawat awam, Mimi Noorzeela Zulma, 35, yang sudah 10 tahun menetap di Kuala Lumur turut mengakui harga tiket mahal menjadi halangan untuknya pulang mengundi.
"Kami juga bimbang perlu menjalani proses saringan Covid-19.
"Saya juga bercadang untuk menukar alamat dan mengundi di DUN Tanjung Kapor dalam Parlimen Kudat ke semenanjung bagi proses pilihan raya akan datang," katanya.
Perkara sama turut dikongsi seorang pegawai bank di Kuching Sarawak, Nurhasna Muldan, 35, yang bimbang untuk pulang berikutan lokasi pengundian berada pada zon merah Covid-19 iaitu di Lahad Satu.
"Saya sudah bertugas di Kuching sejak 10 tahun lalu dan kali ini memilih untuk mementingkan keselamatan berikutan pandemik Covid-19," katanya.
Nurhusna berdaftar sebagai pemilih bagi kawasan DUN Silam yang terletak dalam Parlimen Silam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!