HKL guna 300,000 pelitup muka sebulan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 300,000 pelitup muka surgikal digunakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap bulan sejak penularan koronavirus (Covid-19).
Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Coray berkata, hampir setiap hari pihaknya menerima sumbangan kelengkapan pakaian perlindungan diri (PPE) dan juga bekalan makanan daripada pihak luar terdiri termasuk pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.
Menurutnya, bekalan tersebut setakat ini mencukupi susulan jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan di hospital berkenaan juga rendah.
"Pada waktu kemuncak Covid-19 sekitar April dan Mei lalu pihak hospital menerima menerima 700 pesakit yang 300 daripadanya positif Covid-19, tapi sekitar Jun dan Julai lalu jumlah itu sudah mula menurun.
"Sekarang, tiada pesakit Covid-19 ditempatkan di HKL memandangkan semua pesakit ditempatkan ke Hospital Sungai Buloh sebagai pusat rawatan Covid-19," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui ketika menerima sumbangan PPE oleh Persatuan Usahawan Wanita dan Keusahawanan Agro (We Agro), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Royale Rich Resources dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang disempurnakan oleh Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan di HKL.
Dr Heric berkata, HKL masih menyediakan dua wad terdiri daripada 200 katil untuk persediaan (standby) sekiranya terdapat pesakit Covid-19 datang ke hospital berkenaan.
"Buat masa ini Covid Mass Screening Area (CMSA) HKL masih menyediakan ujian Covid-19 yang berjalan selama 24 jam, jika terdapat pesakit yang disyaki Covid-19 kita akan masukkan ke dalam wad itu sebagai transit.
"(Kemudian) Jika disahkan positif mereka akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan sekiranya negatif mereka dibenarkan keluar," katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, beliau menghargai kerjasama semua pihak terutamanya yang memberikan sumbangan PPE kepada petugas barisan hadapan.
"Rakyat Malaysia ini terkenal dengan sikap suka membantu dan saya harap lebih banyak pihak menyalurkan bantuan sama memandangkan Covid-19 belum berakhir dan tempohnya juga tidak dapat dipastikan.
"Saya amat menghargai peranan dimainkan petugas barisan hadapan dan saya minta rakyat juga turut sama membantu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memerangi Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!