Bernas santuni 50 keluarga berbilang kaum
PASIR GUDANG - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menghulurkan bantuan kepada lebih 50 keluarga berbilang kaum di kawasan kediaman Flat Taman Cendana, Pasir Gudang di sini baru-baru ini.
Pengurus Operasi Wilayah Selatan, Noor Khaliq Abdul Rahman berkata, inisiatif terbabit dilakukan bagi membantu masyarakat setempat yang terkesan akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, Flat Taman Cendana di sini yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dilihat bertepatan dengan konsep bulan kebangsaan yang kini masih disambut rakyat Malaysia.
“Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah ia turut memberi kesan kepada pendapatan individu dan isi rumah.
“Justeru, Bernas mengambil inisiatif menceriakan dengan sumbangan berbentuk wang dan barangan keperluan harian di Flat Taman Cendana,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rosniza Baharum berkata, Bernas Prihatin sebelum ini telah menemui beberapa pesawah di Sekinchan, Selangor dan Pasir Puteh, Kelantan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan sebelum ke Pasir Gudang.
Menurutnya, daripada 50 keluarga yang dikenal pasti Badan Kebajikan Penduduk Taman Cendana, enam daripadanya merupakan golongan kurang upaya (OKU).
Seorang penerima, Bunga Osman, 61, berkata, dia bersyukur atas sumbangan diterima kerana tidak mempunyai punca pendapatan, selain hanya mengharapkan bantuan bagi meneruskan kehidupan.
Bagi P Krisnaama, 52, yang kehilangan suami dua tahun lalu pula berterima kasih kepada Bernas atas sumbangan wang dan barangan harian diterima yang membantu meringankan beban keluarganya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!