Stesen Keretapi Melalap patut jadi muzium pelancongan
TENOM - Stesen Keretapi Melalap yang diwujudkan pada era pemerintahan kerajaan British dicadangkan untuk dijadikan sebagai sebuah muzium pelancongan yang akan lebih memberi manfaat kepada penduduk kawasan itu.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Jamawi Jaafar berkata, cadangan itu dilihat lebih relevan berbanding pembinaan landasan kereta api dari pekan Melalap ke Stesen Keretapi Tenom.
“Sebelum ini timbul cadangan untuk membina landasan bagi laluan berkenaan seperti yang diumumkan kerajaan terdahulu iaitu Warisan (Parti Warisan Sabah). Bagi saya ia bukanlah satu keperluan utama.
“Bagi saya lebih baik kita menjadikan lokasi bersejarah itu sebagai sebuah muzium pelancongan. Perjalanan dari Melalap ke Tenom boleh hanya mengambil masa hampir 30 minit menggunakan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan mesra bersama rakyat di tamu pekan Tenom kelmarin.
Beliau yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi DUN Melalap berdepan dengan penyandang yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastuktur, Datuk Peter Anthony.
Jamawi berkata, pelaksanaan projek pembinaan landasan kereta api itu dilihat tidak efektif, selain tidak mampu membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat serta merugikan kewangan kerajaan negeri Sabah.
“Tapak dan persekitaran stesen kereta api berkenaan juga kini sudah menjadi penempatan penduduk kampung. Sudah pasti ia dilihat tidak sesuai untuk landasan kereta api dibina.
“Saya katakan kepada penduduk Melalap, sekiranya saya diberikan mandat rakyat di sini, kita akan meminta kerajaan untuk membatalkan projek ini,” katanya.
Sementara itu, Jamawi berkata, cadangan pembinaan muzium berkenaan berupaya menarik pelancong luar bagi melawat kawasan DUN Melalap sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat.
“Selain itu kita juga berupaya menyediakan ruang niaga untuk penduduk tempatan memasarkan produk-produk pelancongan seperti kraftangan dan budaya,” katanya
Menurutnya, apa yang perlu diberikan keutamaan adalah menaik taraf jalan raya yang lebih kemas dan teratur untuk keselesaan penduduk.
“Daripada respons dan penerimaan rakyat yang saya terima, rata-rata tidak menyambut baik rancangan membina landasan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!