Fenomena air pasang besar: Empat rumah terjejas

Antara rumah yang terjejas di Kuala Selangor berikutan fenomena air pasang besar pagi tadi.- Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor
Antara rumah yang terjejas di Kuala Selangor berikutan fenomena air pasang besar pagi tadi.- Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor
A
A
A

KUALA SELANGOR - Empat rumah penduduk di Kampung Sungai Janggut di sini terjejas berikutan fenomena air pasang besar melanda kampung itu pagi tadi.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, hasil pemantauan pada jam 11.30 pagi tadi mendapati kejadian air melimpah itu disebabkan hakisan teruk pada benteng pantai berkenaan akibat fenomena air pasang besar.

Menurutnya, sebuah pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Jawa dijangka dibuka bagi menempatkan mangsa yang terkesan banjir.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengambil tindakan pembaikan segera," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, UPBN Selangor memaklumkan terdapat kejadian benteng pecah berlaku di Pantai Morib, Kampung Sawah dan Pantai Kelanang pada jam 6.50 pagi semalam.

"Tiada kawasan penempatan yang terjejas dan JPS telah mengambil tindakan pembaikan segera," katanya.

Katanya, beberapa kawasan lain di pesisir pantai Selangor iaitu Klang, Sepang dan Sabak Bernam masih terkawal.

"Hanya berlaku sedikit limpahan kecil dikesan melepasi ban, namun ban terbabit masih kukuh serta dalam keadaan baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

UPBN sebelum ini dilaporkan memaklumkan, sebanyak lima daerah di Selangor dijangka dilanda fenomena air laut pasang besar bermula hari ini sehingga November dengan ketinggian paras air laut diramal mencecah sehingga paras 5.8 meter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!