460 poster ah long dirampas
GEORGETOWN - Polis menurunkan 460 poster dan pelekat pelbagai syarikat yang menawarkan pinjaman wang haram di daerah Timur Laut, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kesemua poster dan pelekat itu dirampas dalam operasi lebih tiga jam di sekitar bandar ini,
Menurutnya, antara kawasan yang terlibat dalam operasi yang bermula 9 pagi itu ialah Sungai Nibong, Farlim, Air Itam, Relau, Bandar Baru, Jelutong dan Persiaran Karpal Singh.
“Sepasukan anggota polis dari bahagian siasatan jenayah komersial bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjayakan operasi ini. Ia bagi membanteras gejala pinjaman wang tidak berlesen selain mengurangkan risiko dihadapi penduduk supaya tidak terjebak dengan pinjaman ini.
“Sepanjang tahun lalu, 15 kertas siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibuka dan empat daripadanya didakwa di mahkamah,” katanya di sini, hari ini.
Che Zaimani berkata, pinjaman wang tersebut mengenakan kadar faedah 30 hingga 40 peratus yang akan membebankan peminjam.
“Menerusi poster ah long ini, tertera kononnya pinjaman yang ditawarkan itu adalah dari pinjaman wang berlesen. Kita juga terima aduan mengenai pinjaman yang ditawarkan tidak mempunyai kaedah bunga yang tetap malah dinaikkan secara mendadak dari semasa ke semasa.
“Bunga yang dikenakan amat tinggi dan bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Menurutnya, polis mengalami kesukaran untuk menahan dalang kerana mereka tidak berada di negeri ini dan pekerja bawahan hanya berurusan dengan orang tengah.
“Agak sukar untuk menahan ‘kepala’ mereka kerana pekerja pinjaman wang tidak berlesen ini juga tidak mengenali ketua mereka. Mereka juga tidak menggunakan nama dan nombor telefon sendiri.
“Selain itu, cara pemberian dan penerimaan wang dibuat secara tunai tanpa sebarang rekod. Tiada kes kecederaan dilaporkan dan hanya melibatkan ugutan, makian sahaja kepada mereka yang gagal membuat bayaran balik dalam masa yang ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!