Jalur Gemilang terbalik: Pemilik, pekerja kilang direman
KULAI - Seorang pemilik kilang dan pekerja warga Indonesia direman tiga hari bagi membantu siasatan kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kilang plastik dan acuan di Kawasan Perindustrian Senai dekat sini baru-baru ini.
Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin mengeluarkan perintah reman tersebut terhadap pemilik kilang berusia 56 tahun dan seorang pekerja lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun di Mahkamah Kulai di sini hari ini.
Insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik di kilang berkenaan sebelum ini tular di media sosial sehingga mendapat kecaman netizen selain pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pemilik kilang dan pekerjanya itu ditahan di kilang terbabit pada jam 2.50 petang semalam selepas menerima maklumat daripada orang awam berikutan kejadian itu tular dalam Facebook.
Menurutnya, hasil soal siasat majikan terbabit mengaku mengarahkan pekerjanya untuk menukar Jalur Gemilang yang lusuh dengan bendera baharu, namun tidak membuat pemantauan semula.
"Siasatan mendapati pekerja warga asing itu baru tiga bulan bekerja di kilang tersebut. Dia telah memasang bendera seorang diri tanpa kehadiran majikan di lokasi.
"Majikan itu memberitahu pekerja terbabit telah memasang bendera negeri dengan betul tetapi bendera Malaysia dipasang terbalik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang & Nama (Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017 dan 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!