Janrywine mahu rakyat DUN Kawang bersatu bangunkan kawasan

Janrywine ketika melakukan tinjauan mesra di beberapa kawasan sekitar DUN Kawang baru-baru ini
Janrywine ketika melakukan tinjauan mesra di beberapa kawasan sekitar DUN Kawang baru-baru ini
A
A
A

PAPAR - Penyanyi tempatan Sabah, Janrywine J Lusin mahu seluruh rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang bersatu hati membangunkan kawasan itu.

Beliau yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP) juga mahu rakyat bersatu dalam pembangunan negeri Sabah yang kini masih belum membangun sepenuhnya.

“Kerjasama daripada pelbagai pihak amat perlu bagi memastikan misi untuk membangunkan Sabah serta kawasan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sudah pasti, fahaman politik harus diketepikan dahulu bagi menjayakan misi ini.

“Ini adalah antara misi utama saya sekiranya saya berjaya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di sini. Jika rakyat tidak bersatu sudah pasti apa yang dirancang tidak akan terlaksana,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, jika kesatuan antara rakyat dapat dilaksanakan sudah pasti pelbagai permasalahan akan dapat disuarakan kepada pihak berwajib di Sabah.

“Jika ini dapat dilaksanakan, sudah pasti misi seterusnya kita akan laksanakan pertemuan dengan agensi berwajib bagi memastikan segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cepat dan sempurna untuk rakyat.

“Tugas wakil rakyat bukan sahaja untuk membawa kebaikan atau pembangunan di kawasan itu tetapi juga mencari jalan penyelesaian dengan pihak berwajib, oleh sebab itu kerjasama antara wakil rakyat, rakyat dan pihak berkuasa tempatan amat penting,” katanya.

Dalam pada itu, Janrywine mengakui tidak mahu menjadi ‘champion’ atau hero kepada satu pihak namun akan berpihak sebagai ‘orang tengah’ dalam mencari jalan penyelesaian bagi suatu masalah yang diadukan.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita ada kerjasama dua kala barulah hak keharmonian dalam pembangunan itu dapat dicapai.

“Kita mahu pembangunan untuk rakyat dilaksanakan dengan harmoni, bukan membangun dengan bersaing mahupun menunjuk,” katanya.

Pada PRN Sabah, Janrywine berdepan empat calon lain yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu dan Parti Perikatan Nasional.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!