Pakar bedah otak cipta kelainan
TAIPING - Seorang pakar bedah otak bersama keluarganya mencipta kelainan tersendiri apabila melakukan terjunan bebas dalam ketinggian melebihi 4,000 kaki di ruang udara Lapangan Terbang Tekkah di sini hari ini.
Dr Sani Sayuthi, 51, bersama isteri, Wan Razlila Wan Hassan, 40, dan anaknya, Izzat Izzedin Sani, 14, melakukan terjunan di udara buat pertama kali secara bersama.
Menurut Dr Sani yang bertugas di sebuah hospital swasta di Melaka, terjunan udara itu dilakukan sebagai memenuhi impian mereka sekeluarga yang sangat meminati aktiviti-aktiviti lasak.
"Aktiviti ini merupakan 'bucket list' kami sekeluarga. Pengalaman ini sangat mengujakan dan semua orang perlu cuba. Sebelum ini kami dah pernah lakukan aktiviti menyelam di Langkawi sebelum ke Maldives.
"Bagi saya terjunan udara ini merupakan aktiviti paling menyeronokkan berbanding aktiviti-aktiviti lasak yang pernah kami lakukan sebelum ini. Kami merancang untuk lakukan aktiviti ini di Australia atau New Zealand selepas ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Lapangan Terbang Tekkah di sini hari ini.
Bagi Izzat Izzedin pula, menjadi antara penerjun termuda di Asia membuat terjunan bebas itu membuatkan dirinya sedikit gementar walaupun bersama keluarga.
Namun baginya, usia bukanlah penghalang untuk melakukan aktiviti lasak yang biasanya dikhususkan untuk golongan dewasa.
Menurutnya, pengalaman tersebut pasti tidak dilupakan dan akan terus melakukan aktiviti berkenaan jika berpeluang berbuat demikian.
Dalam pada itu, aktiviti terjunan bebas yang dikendalikan oleh Rafrabina Aerosport itu turut disertai 30 peserta lain yang ingin merasai pengalaman baharu berada di udara dan menggunakan payung terjun.
Pengurus Raftabina Aerosport, Mohd Fadzlie Ismail berkata, aktiviti terjunan bebas di udara itu bukanlah pertama kali dianjurkan namun kali ini menampilkan kelainan dengan penyertaan peserta bersama keluarga yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
"Penerjun secara solo memang biasa kita lihat dan kami kendalikan namun ini kali pertama melibat sebuah keluarga yang bersama-sama mempunyai minat dan keberanian untuk terjun dari udara.
"Alhamdulillah, aktiviti hari ini berjalan dengan baik dan lancar tanpa insiden tidak diingini. Aktiviti ini memang menyeronokkan namun sangat berisiko jika dilakukan tanpa teknik serta arahan yang betul," katanya.
Katanya, aktiviti lasak seperti ini boleh dilakukan oleh semua orang namun terdapat kriteria penting terutama faktor kesihatan sebelum boleh melakukan terjunan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!