Minyak masak bersubsidi diseludup ke Thailand
KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan minyak masak subsidi dari luar Kelantan diseludup masuk ke Thailand.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ada minyak masak luar dari Kelantan ini dijual di Golok.
"Penyeludupan minyak masak ini melintasi sempadan Kelantan dan masuk ke Thailand, bungkusan minyak masak ini syarikat luar Kelantan.
"Ia sesuatu yang serius kerana ia melanggar kawasan sempadan sedangkan bekalan minyak di Kelantan mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Karnival Youngpreneurs Go di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz.
Saifuddin berkata, KPDNHEP ada kuasa untuk mengambil tindakan kepada pembekal minyak masak ini dengan mengumpul maklumat terperinci.
"Kalau minyak ini bocor ke sempadan ia mendatangkan kerugian kepada negara kerana kerajaan memperuntukkan RM600 juta setahun subsidi," katanya.
Sementara itu katanya, Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina akan berkuat kuasa 30 Januari hingga 8 Februari ini.
Menurutnya, ia membabitkan 13 jenis barang sebagai langkah menyekat kenaikan harga sempena perayaan itu yang akan disambut pada 5 Februari ini.
"Tempoh itu dikuatkuasakan selama 10 hari iaitu enam hari sebelum perayaan dan tiga hari selepas perayaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!