Peluang pasarkan produk masyarakat Kadazandusun
PENAMPANG - Lot gerai yang disediakan untuk penduduk Kampung Maang di sini memberi peluang kepada penduduk memasarkan produk tempatan terutama makanan tradisional masyarakat Kadazandusun di daerah ini.
Ia sekali gus membantu golongan berpendapatan rendah menjana ekonomi walaupun berniaga secara sambilan.
Menurut seorang peniaga, Verona Liniu, 69, lot gerai itu baru saja siap dibina dan hari ini mereka mula berniaga dengan menjual produk tempatan terutama makanan tradisional.
"Saya lihat sukar makanan tradisional dijual di bandar seperti di Kota Kinabalu, tetapi di sini (Penampang) kami menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan seperti nasi linopot (nasi dari beras kampung dibungkus menggunakan daun), jeruk ikan dan lihing (sejenis minuman keras).
"Lot gerai ini pula terletak di tepi jalan utama Pan Borneo, jadi ini satu kelebihan kepada kami di mana pengunjung dari Kota Kinabalu atau Sarawak serta Brunei yang lalu di laluan ini singgah dan seterusnya mencuba produk tempatan," katanya ketika ditemui di Kampung Maang hari ini.
Seorang lagi peniaga, Margaret Piji, 51, menganggap pembinaan lot gerai di kampung mereka sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membantu penduduk kampung dalam meningkatkan ekonomi.
"Sekurang-kurangnya kami dapat berniaga dan membantu mengurangkan beban keluarga serta dapat membantu menambah perbelanjaan terutama untuk perbelanjaan empat anak saya masih bersekolah," katanya.
Margaret dalam pada itu berharap menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dihadapi di negeri ini akan membawa lebih banyak manfaat apabila wakil rakyat yang dipilih membawa pembangunan dan perubahan pada kampung mereka.
"Saya harap kemudahan yang dinikmati hari ini dapat diteruskan oleh wakil rakyat di kawasan ini terutama untuk Kampung Maang," katanya.
Terdahulu, lot gerai itu dirasmikan oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Datuk Darell Leiking daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!