Keputusan PRN Sabah tidak wajar jadi penentu PRU15

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

PASIR GUDANG - Menang atau kalah parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak wajar dijadikan penentu untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan PRN tersebut tidak harus dijadikan asas atau rujukan untuk mengadakan PRU15.

"Sebaliknya kita sememangnya mahukan atau perlukan PRU15 untuk kita menubuhkan sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan stabil.

"Ini bagi membolehkan kerajaan Persekutuan fokus kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Doa Selamat sempena kerja-kerja permulaan Hospital Pasir Gudang di Masjid Al-Fallah, Bandar Seri Alam di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Kota Belud, Sabah, berkata, di peringkat nasional belum diputuskan tarikh untuk mengadakan PRU15.

Namun Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi bayangan PRU15 mungkin diadakan lebih awal sekiranya parti-parti GRS menang dan berjaya membentuk kerajaan.

Mohamed Khaled (kanan) ketika hadir pada Majlis Doa Selamat sempena kerja-kerja permulaan Hospital Pasir Gùdang di Masjid Al-Fallah, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.
Mohamed Khaled (kanan) ketika hadir pada Majlis Doa Selamat sempena kerja-kerja permulaan Hospital Pasir Gùdang di Masjid Al-Fallah, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.

Menurut Muhyiddin, kemenangan GRS dalam PRN pada 26 September ini adalah petunjuk rakyat yang mahukan Perikatan Nasional (PN) untuk memimpin negara.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled berkata, Perdana Menteri berhak untuk menentukan bila PRU15 diadakan namun keputusan untuk berbuat demikian berasaskan PRN tersebut adalah tidak wajar.

Ditanya mengenai permintaan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad supaya sempadan Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya, beliau berkata, perkara tersebut ada asas dan keperluannya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, keperluan untuk membuka sempadan tidak dinafikan mempunyai kepentingannya sendiri membabitkan kedua-dua negara terutama dalam bidang ekonomi, pekerjaan dan perniagaan.

Katanya, kepentingan bersama itu tidak boleh dinafikan dan keputusan untuk tidak membuka sempadan sepenuhnya ketika ini perlu dikaji semula.

"Keadaan pada hari ini cukup berlainan. Kita dapat melihat kesan daripada penutupan sempadan. Justeru keputusan penutupan sempadan wajar dibuat pertimbangan semula," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!