Azroy kekalkan penguasaan di Kuala Terengganu
AZROY Hakeem Anuar menyempurnakan misinya dengan mudah di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Terengganu apabila bergelar juara pada saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas hari ini.
Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu sekali lagi mempertahankan kejuaraannya di litar sama dalam Kelas CP150 apabila memenangi perlumbaan akhir dengan catatan masa 16:40.336 saat (s).
Ternyata, litar sepanjang 1.371 kilometer itu memang gelanggang kegemaran pelumba asal Selangor itu selepas turut bergelar juara pada edisi 2019 lalu.
Semuanya berjalan lancar buat Azroy pada saingan kali ini, bermula daripada sesi kelayakan yang menyaksikannya muncul pelumba terpantas semalam.
Azroy meneruskan rentak cemerlang bagi mengotakan janjinya untuk terus berada di podium kemenangan.
“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan terbaik hari ini. Keadaan jentera juga mantap selain perasaan positif untuk memimpin perlumbaan. Semuanya berjalan lancar dan saya gembira dan sangat berterima kasih kepada seluruh krew pasukan yang telah bekerja keras untuk kejayaan ini,” kata Azroy.
Kemenangan itu membolehkan Azroy terus selesa memimpin kedudukan keseluruhan dengan meraih 81 mata diikuti Helmi Azman dengan 66 mata.
Sementara itu tempat kedua milik pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Md Aiman Tahiruddin dengan merekod masa 16:41.346s manakala tempat ketiga menjadi milik Md Helmi Azman (HI REV SCK Honda Racing) dengan masa 16:43.825s.
Bagi Kelas CP126 pula menyaksikan kebangkitan juara keseluruhan kategori Wira musim lalu, Md Aliff Danial Md Asri yang kini menggalas cabaran Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.
Aliff muncul juara kelas yang baharu diperkenalkan musim ini dengan catatan masa 13:06.521s manakala tempat kedua dan ketiga masing-masingnya menjadi milik Md Adib Rosley (IPONE Yamaha YYPANG Racing Team) dan Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR SAG Team).
Adib yang agak tenggelam dalam tiga pusingan sebelum ini melakukan catatan masa 13:09.390s di bumi Terengganu manakala Hafiza menamatkan saingan dengan masa 13:15.210s.
Begitupun, kedudukan keseluruhan masih masih dipegang pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Md Shafiq Rasol yang mengumpul 67 mata diikuti rakan sepasukannya, Md Hafiza dengan 57 mata.
Sementara itu, Rahimi Nabil Razu tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila tampil hebat untuk muncul juara Kelas Wira.
Pelumba yang mengalas cabaran Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing itu memenangi perlumbaan 12 lap itu dengan catatan masa 10:47.161s.
Tempat kedua milik pelumba Boss Susu Motorsports, Md Haziq Rosmaza dengan masa 10:48.380s diikuti ketiga, Md Aeiman Hafidz Shahril (ONEXOX SAG Team) dengan catatan masa 10:50.874s.
Kemenangan Rahimi mengukuhkan statusnya selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 78 mata.
Litar Lumba Tangkak, Johor akan menjadi destinasi Pusingan 5 yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 11 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!