Sektor pelancongan di Ranau mula meningkat

Masidi Manjun bersama penduduk di Kampung Pulutan Ranau dalam satu program kunjungan mesra bertemu rakyat semalam.
Masidi Manjun bersama penduduk di Kampung Pulutan Ranau dalam satu program kunjungan mesra bertemu rakyat semalam.
A
A
A

RANAU – Sektor pelancongan di daerah ini mula menunjukkan peningkatan jumlah pengunjung yang tiba sejak kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.

Daerah yang terkenal dengan beberapa lokasi pelancongan seperti Gunung Kinabalu; ‘New Zealand Sabah’ dan Taman Kinabalu ini adalah antara pilihan pelancong khususnya pengunjung tempatan.

Ranau juga mempunyai puluhan Inap Desa ataupun ‘Homestay’ yang menjadi pilihan pengunjung untuk bercuti pada hujung minggu selain ingin merasai suasana sejuk di daerah itu.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaaan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya gembira dengan jumlah kehadiran pengunjung yang tiba ke daerah ini meskipun belum menerima pelancong asing.

“Ingin saya kongsikan berita baik bahawa hampir keseluruhan ‘homestay’ di Ranau ini penuh ditempah oleh pengunjung tempatan pada setiap minggu dan jalan raya juga turut sesak.

“Ini juga menunjukkan bahawa pelanggan tempatan masih ada untuk memenuhi lokasi penginapan pada hujung minggu,” katanya pada Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Masidi yang juga bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi mempertahankan kerusi DUN Karanaan buat kali kelima sejak 2004.

Katanya, selain inap desa, beberapa sektor lain juga perlu diambil perhatian bagi membantu peniaga di daerah ini meningkatkan sumber pendapatan selepas pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kita melihat inap desa ini penuh pada hujung minggu, namun barangkali kegiatan ekonomi yang ada kaitan seperti restoran dan lain-lain juga perlu dikembalikan pelanggannya.

“Meskipun mungkin ada sektor lain yang kurang pelanggan akibat Covid-19 ini, tetapi mungkin juga kita perlu merancang sesuatu yang lebih baik untuk peniaga bersedia maju ke hadapan pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!