Calon DUN Api-Api lapor polis gambar disunting pakai serban
KOTA KINABALU - Calon Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Datuk Dr Yee Moh Chai tampil membuat laporan polis hari ini berhubung gambarnya yang dimanipulasi serta ditularkan di media sosial.
Beliau berkata, gambarnya itu dipercayai disunting dengan menggunakan teknik Photoshop iaitu memakai serban.
"Saya terima gambar ini pada tengah hari tadi dan ditularkan melalui media sosial dan WhatsApp di mana gambar saya sebagai calon telah dimanipulasikan kelihatan memakai serban seperti yang dilampirkan dalam laporan polis ini.
"Saya percaya tujuan pelaku membuat suntingan pada gambar saya adalah untuk memainkan sentimen keagamaan dan perkauman yang sensitif yang boleh menyebabkan timbulnya kebencian keagamaan dan perkauman serta mengganggu ketenteraman serta keamanan rakyat Sabah," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing di sini hari ini.
Moh Chai dalam pada itu menyatakan kebimbangannya yang juga sebagai calon yang bertanding seolah-olah sengaja mempersendakan kepercayaan penganut agama lain.
"PBS tidak mengamalkan budaya memainkan sentimen berkaitan isu keagamaan dan perkauman untuk mendapat sokongan pengundi.
"Tindakan ini bukan sahaja untuk memfitnah saya sebagai calon dan PBS, tetapi juga memberikan maklumat dan pengetahuan palsu untuk rakyat mengenai saya dan juga parti," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, laporan itu dibuat supaya polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap pelaku.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan itu hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!