Hapus dasar perkauman melampau
MANUSIA yang diserahkan oleh ALLAH untuk menguruskan alam ini ialah makhluk yang punya daya dan kekuatan akal fikiran yang dikurniakan ALLAH. Sesungguhnya ilmu dan kurniaan ALLAH itu amat besar ruang lingkupnya, sehinggakan diibaratkan oleh ALLAH bahawa sekiranya “Seluruh air lautan dijadikan dakwat untuk menulis ayat-ayat ALLAH, nescaya dakwat itu akan kekeringan sebelum ayat-ayat ALLAH selesai ditulis, walaupun ditambah (air lautan itu) sekali ganda lagi.” Surah Al-Kahfi (18).
Agama ALLAH iaitu agama Islam amat luas ruang lingkup dan cabang ilmunya yang seharusnya dikuasai oleh manusia yang dilantik oleh ALLAH untuk memimpin dunia ini.
Kita di negara ini merupakan kelompok kepelbagaian kaum dan agama yang menjadikan negara ini sebagai tanah air mereka. Umat Islam seharusnya menguasai segala daya dan tarikan untuk membawa umat lain mencintai agama Islam dan tidak mempunyai sebarang rasa permusuhan kepada umat Islam dan agamanya.
Hal ini perlu dicontohi perjalanan Nabi Muhammad SAW Ketika baginda berhijrah ke Madinah ketika menyelamatkan diri dan pengikut baginda daripada permusuhan orang-orang Makkah sendiri. Ketika baginda di Madinah inilah terdapat golongan Yahudi yang dapat dijinakkah hati dan perasaan mereka kepada baginda, lalu terbentuklah masyarakat Makkah dan Madinah, umat Islam dan bukan Islam di tempat baru bagi baginda itu.
Dengan kebijaksanaan baginda di alam global yang baharu ini, maka baginda berjaya menggubal sebuah perlembagaan untuk hidup bersama dan bantu membantu dalam membina masyarakat plural itu.
Amalan
Secara khususnya dalam konteks masyarakat majmuk, manusia mempunyai dasar amalan yang berikut, malah umat Islam sendiri haruslah meningkatkan imejnya sendiri dengan sebaik-baiknya:
1.Islam merangka dasarnya yang jelas dalam dasar perdamaian dan keamanan. Islam mempunyai prinsip yang mengatur masyarakat manusia supaya dapat hidup bersama secara damai dan produktif. Kedua-dua belah pihak haruslah mempunyai semangat dan amalan toleransi serta bertolak ansur, hormat menghormati terhadap pihak yang lain untuk kepentingan bersama.
2.Umat Islam seharusnya menentukan pendirian dan menjelaskan dasar ajaran Islam yang sebenarnya terhadap isu kekerasan dan keganasan. Perlu juga dijelaskan tentang ajaran Islam terhadap gerakan radikalisme, ekstrimisme dan sebagainya yang membawa gejala keganasan dan konfrantasi bagi memperjuangkan sesuatu hak atau menegakkan hujah dalam mengemukakan sesuatu pandangan dan gagasan kita.
3.Hal ini perlu difahami dalam konteks masyarakat Islam sesama Islam dan antara masyarakat Islam dengan bukan Islam. Yang jelas daripada ajaran Islam bahawa Islam menolak dasar kekerasan dan keganasan, sikap radikal dan melampau, juga sikap kasar dan konfrantasi secara melulu. Islam telah menetapkan sempadan dan adab yang tertentu dalam berkonflik dan berselisih pandangan.
4.Satu keputusan segera yang seharusnya diambil oleh umat Islam pada hari ini ialah menetapkan pendirian terhadap kejahilan dan kemunduran yang bakal membentuk sikap umat Islam dalam merangka strategi mengatasi kejahilan dan kemunduran sesuai dengan semangat dan ajaran Islam.
5.Negara berbilang kaum dan agama seperti negara kita memerlukan rakyat yang bersefahaman dan mampu bertolak ansur serta menghormati hak serta prinsip bersama dalam penghidupan umum rakyat.
Pendek kata, dalam sebuah masyarakat majmuk, semua rakyat haruslah memahami ajaran ini dengan sebaik-baiknya. Persefahaman haruslah dibina di atas dasar ilmu dan tamadun serta adab etika yang baik supaya menjadi aman dan damai.
* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!