Mujur dah alihkan barang dalam rumah

Keadaan rumah Mohd Helmi di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor yang dimasuki air hari ini berikutan fenomena air pasang besar.
Keadaan rumah Mohd Helmi di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor yang dimasuki air hari ini berikutan fenomena air pasang besar.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang penduduk di Kampung Sungai Janggut di sini menyifatkan dirinya bernasib baik apabila mengalihkan barangan dalam rumah beberapa hari lalu sebelum kediamannya itu dilanda fenomena air pasang besar hari ini.

Mohd Helmi Husin, 48, berkata, dia sempat mengalihkan barangan ke tempat lebih selamat selepas rakan sekampung memaklumkan bahawa fenomena itu dijangka berlaku hari ini.

Malah, katanya, dia bersama anak lelakinya, Hadeq Al Faris, 15, yang berada di rumah itu tidak menyangka kejadian itu mengakibatkan dapur dan halaman rumahnya digenangi air sehingga paras betis.

"Saya dan anak hanya mampu melihat air masuk ke dalam rumah. Kami kemudian segera beredar dan keluar menuju ke jalan utama sebelum air kembali surut kira-kira 30 minit kemudian," katanya.

Menurutnya, kejadian itu disifatkan antara terburuk sepanjang lapan tahun menetap di rumah berkenaan.

"Pihak berkuasa memaklumkan fenomena air pasang besar diramal akan berlaku esok dan kemungkinan air lebih tinggi," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebanyak empat rumah penduduk di kampung berkenaan terjejas berikutan fenomena air pasang besar melanda kampung itu pagi tadi.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dalam kenyataannya berkata, hasil pemantauan pada jam 11.30 pagi tadi mendapati kejadian air melimpah disebabkan hakisan teruk pada benteng pantai berkenaan akibat fenomena air pasang besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena air pasang besar: Empat rumah terjejas

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!