TikTok, WeChat jadi perbalahan AS-China
PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat tindakan yang drastik apabila pengguna-pengguna di AS tidak lagi dibenarkan memuat turun aplikasi popular TikTok dan WeChat mulai Ahad ini atas alasan isu keselamatan.
Pengharaman itu dibuat oleh Jabatan Perdagangan AS pada Jumaat lepas setelah Trump pada Ogos lalu mengeluarkan arahan melarang syarikat-syarikat di bumi 'Uncle Sam' melakukan urus niaga dengan aplikasi dari China itu dalam tempoh 45 hari.
Sebelum ini, Trump pernah memuji TikTok dengan menyatakan aplikasi perkhidmatan perkongsian video itu ialah sebuah syarikat yang mengagumkan dan amat popular dari China.
Aplikasi itu dikatakan mempunyai lebih kurang 700 juta pengguna manakala WeChat pula memiliki kira-kira satu bilion pengguna di seluruh dunia telah diberikan masa sehingga 12 November ini untuk memperbaiki isu-isu mengenai keselamatan jika tidak mahu operasinya diharamkan terus di AS.
Pengharaman memuat turun TikTok itu juga sebelum ini sudah menunjukkan tanda-tanda ia kemungkinan akan berlaku berikutan satu siri tuntutan keselamatan Washington ke atas pemilik aplikasi tersebut.
Ini adalah kerana Trump pernah mengeluarkan arahan bahawa aplikasi yang dimiliki oleh syarikat ByteDance dari China itu akan diharamkan jika ia tidak dapat mencari syarikat baharu dari AS bagi membelinya menjelang 20 September ini.
Washington sebelum ini mendakwa TikTok dan WeChat menggunakan alasan bahawa ia mungkin digunakan untuk tujuan pengintipan oleh Beijing kerana syarikat AS tidak mempunyai pegangan saham terbesar dalam kedua-dua aplikasi tersebut.
Pengharaman itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi AS kerana ia juga telah menyenaraihitamkan syarikat komunikasi dari China, Huawei pada Mei tahun lalu dengan mengggunakan alasan keselamatan.
Alasan itu digunakan seolah-olah bagi memberitahu dunia bahawa TikTok akan mengggunakan maklumat peribadi para pengguna AS yang tersimpan di dalam aplikasi itu dan kerajaan China pula didakwa melakukan tapisan terhadap maklumat-maklumat dianggap sebagai sensitif.
Namun, AS menerima tamparan apabila TikTok menolak dakwaan tersebut dengan menyatakan pusat maklumat peribadinya terletak di luar China.
Sebagai usaha untuk meneruskan operasi di negara tersebut, pemilik TikTok telah mengadakan perbincangan dengan syarikat Oracle Corp. dan beberapa syarikat lagi di AS bagi mewujudkan sebuah syarikat baharu bagi menangani kebimbangan tentang masalah keselamatan itu.
Bagaimanapun, pada akhirnya, Trump akan memberikan kata putus tentang pembelian syarikat AS terhadap aplikasi itu yang dilaporkan mempunyai kira-kira 100 juta penggguna di negara tersebut.
Sasaran pengharaman syarikat dari China itu juga pernah berlaku pada tahun 2018 apabila syarikat Peralatan Telekomunikasi Zhongxing (ZTE) dilarang menjual peralatan rangkaian selular ke negara tersebut selama tujuh tahun atas alasan keselamatan negara.
Namun, pengharaman itu ada asas yang kukuh kerana ia dilakukan selepas syarikat itu didapati bersalah membuat kenyataan palsu dalam satu siasatan AS berhubung penjualan peralatannya ke Iran.
Jualan telefon pintar syarikat berkenaan dikatakan mewakili 11 peratus daripada pasaran alat komunikasi itu pada suku pertama tahun 2018 di belakang Apple, Samsung dan LG sebelum pengharamannya.
WeChat pula dikatakan mempunyai berbilion-bilion mesej penggguna termasuk yang dihantar dari luar China seperti Taiwan, AS, Australia, Kanada dan lain-lain negara yang sekali gus dianggap menjadi ancaman keselamatan terhadap AS.
Aplikasi itu secara puratanya didakwa mempunyai 19 juta pengguna aktif di AS dan popular dalam kalangan pelajar China, pemastautan luar negara dan sebahagian rakyat AS yang mempunyai hubungan perniagaan di China.
Bagaimanapun, WeChat yang dimiliki oleh syarikat Tencent mengalami perkembangan pesat apabila ia yang memulakan operasinya pada tahun 2011 itu turut terkenal sebagai aplikasi pembayaran mudah alih.
Populariti dan perkembangan perniagaan pesat yang diraih syarikat milik penuh rakyat China itu kelihatan terhenti di AS melalui keputusan terbaharu tersebut sekali gus menimbulkan reaksi keras daripada China.
China berikrar pertahan syarikat negaranya
Pada Sabtu lalu, Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan mendesak AS untuk meninggalkan apa dianggapnya sebagai tindakan buli dan berikrar akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mempertahankan syarikatnya yang beroperasi di AS.
Ia sekali gus menunjukkan seolah-olah dakwaan kedua-dua aplikasi tersebut digunakan untuk tujuan perisikan sebagai tidak benar.
Tindakan terbaharu itu juga dilakukan selepas aplikasi sosial AS seperti Facebook, Youtube dan Instagram turut diharamkan di China atas sebab-sebab keselamatan.
Jika Beijing mengambil pendekatan pengharaman itu, Washington juga mempunyai hak untuk melarang rakyatnya daripada memuat turun aplikasi TikTok dan WeChat atas aspek keselamatan negara.
India juga mengambil pendekatan yang sama apabila mengharamkan TikTok dan WeChat itu beberapa minggu lalu berikutan perbalahan isu sempadan negaranya dengan China.
Pentadbiran Trump dilihat mengambil pendekatan itu ketika satu siri perbalahan negaranya dengan China belum lagi reda dan ketika pilihan raya presiden AS semakin hampir yang menyaksikan dia mempertahankan jawatan bagi penggal kedua iaitu pada 3 November depan.
Pengharaman itu juga dikatakan dilakukan bagi mengelak penyebaran maklumat tidak betul tetapi ia dinafikan oleh ketua keselamatan TikTok di AS, Eric Han dengan menegaskan pihaknya melakukan pemantauan bagi mengelak kejadian tersebut daripada berlaku.
Namun, satu siri perbalahan kedua-dua buah negara masih lagi berlanjutan dengan kali ini ia melibatkan dua aplikasi popular dari China dan persengketaan itu masih lagi belum berakhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!