Pembangkang dijangka terus bawa isu perkauman, agama
PUTRAJAYA - Pembangkang dijangka akan terus menggunakan sentimen perkauman dan agama sebagai modal kempen mereka menjelang PRK Dun Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.
Mujahid berkata, kekalahan PH dalam PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini adalah disebabkan oleh tindakan pembangkang yang menggunakan sentimen berkenaan dan pihaknya menjangkakan strategi sama akan digunakan selepas ini.
Bagaimanapun, menurutnya, kekalahan itu memberi pengajaran kepada PH untuk mengatasi perkara itu bagi menggelakkan isu berkenaan terus dimanipulasikan pembangkang sebagai modal kempen.
“Saya tidak kata kekalahan PH adalah disebabkan perkara itu (isu kaum dan agama) semata-mata, namun kita mendapat pengajaran daripada kekalahan tersebut.
“Isu agama dan perkauman dimanipulasikan sehingga membuatkan masyarakat beranggapan kita seperti tiada usaha untuk memperjuangkan nasib kaum Melayu dan agama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemenangan BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Majlis Pengumuman Jumlah Kutipan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Manogaran terima kekalahan kali ketiga dengan hati terbuka
Ramli meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH Manogaran (8,800 undi) serta dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata PH perlu menambah baik aspek komunikasi bersama rakyat di samping menganjurkan lebih banyak program bagi memastikan isu-isu yang dibawa pembangkang dapat diatasi dengan sebaiknya.
“Yang penting adalah kita dapat beri kefahaman kepada rakyat untuk terus menyokong kerajaan pada masa kini yang memulakan banyak polisi melibatkan ekonomi, Islam dan Melayu mengikut naratif kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!