Jangan sokong budaya maki hamun

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai reaksi dilontarkan netizen berhubung insiden seorang personaliti media sosial (influencer) dihalau dari sebuah restoran di Melaka ketika sedang membuat reviu produk secara langsung dalam media sosial.

Insiden yang berlaku kepada usahawan, Eira Aziera turut menerima komen dalam kalangan rakan-rakan influencer yang lain.

Antara influencer yang awal memberi komen menerusi saluran media sosial peribadi ialah pelakon, Zarina Anjoulie yang dilihat memberi teguran pedas serta menggunakan bahasa yang tidak wajar terhadap Eira.

Selain itu, Zarina turut mengkritik kebanyakan mereka yang terlibat dalam media sosial seperti pengasas produk, instafamous dan influencer yang memang akan mencari peluang untuk menjadi tular walaupun sekejap.

Sementara itu, seorang influencer muda, Aryanna Alyssa Dezek, 12, berkata, influencer atau YouTuber sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

“Perbuatan memaki hamun sangat tidak bagus. Ini kerana yang menonton atau melihat kita bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga dalam kalangan kanak-kanak.

“Mereka boleh terikut-ikut dengan tingkah laku yang tidak baik. Sebaiknya, kalau membuat reviu di tempat orang, kita minta izin dulu. Jika dibenarkan, barulah kita buat sebab kita tak mahu pemilik kedai rasa terganggu.

“Tambah lagi di restoran pada musim PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) ini sudah tentu tak boleh duduk lama-lama sebab banyak SOP yang perlu diikuti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Alyssa yang juga artis dan YouTuber bagaimanapun berkata, dia berharap apa yang berlaku tidak disensasikan, sebaliknya perlu diambil iktibar oleh semua influencer media sosial khususnya golongan muda.

Pada Selasa minggu lalu, Eira Aziera didakwa dihalau ketika membuat reviu sebuah produk secara langsung menerusi Facebook di sebuah restoran di Bandar Hilir, Melaka.

Eira Aziera mendakwa diherdik oleh seorang wanita dipercayai pemilik restoran tersebut ketika sedang menunggu makanan yang dipesannya bersama 10 orang pengikutnya.

Eira yang dilihat tidak berpuas hati terus mengajak pengikutnya meninggalkan premis tersebut selain membatalkan pesanan makanan.

Dalam siaran langsung tersebut, Eira telah mengeluarkan kata-kata kesat susulan kejadian yang berlaku selain meminta 10,000 pelayar Facebook yang sedang menonton siaran langsungnya memboikot kedai makan terbabit.

Eira Aziera mempunyai pengikut terkini seramai 367,587 orang di Facebook.

Dia juga mendapat lebih 1,000 komen daripada netizen, selain meraih ratusan perkongsian setiap kali membuat Facebook Live.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!