Tugas penguat kuasa KPDNHEP didigitalkan
[VIDEO] [WAWANCARA] TUGAS Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam melindungi kepentingan pengguna dan peniaga sangat mencabar pada zaman Covid-19 ini. Selain kenaikan harga barang, lambakan produk tiruan dan penipuan urus niaga dalam talian juga menjadi antara cabaran besar untuk diselesaikan Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.
Sebab itulah, kata beliau, langkah pendigitalan tugas penguat kuasa sangat penting supaya tindakan penguatkuasaan seperti kompaun dapat dilakukan dengan cepat manakala proses meluluskan permohonan untuk menjalankan aktiviti perniagaan seperti jualan murah tidak mengambil masa yang lama.Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Iskandar Halim turut memperincikan fungsi Unit Digital dan Forensik di Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP yang ditubuhkan pada awal tahun ini.
Ikuti wawancara Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan Raiham Mohd Sanusi bersama anak kelahiran Raub, Pahang itu di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
SINAR AHAD: Apakah yang mendorong Datuk untuk berkhidmat sebegitu lama dalam kerajaan iaitu selama 39 tahun?
ISKANDAR HALIM: Tahun ini adalah tahun ke-39 saya berkhidmat di Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP. Rasa syukur mendorong saya untuk bekerja dengan lebih bagus, sungguh-sungguh. Saya bersyukur sebab ALLAH SWT berikan rezeki untuk saya berkhidmat dalam kerajaan, dapat bekerja dalam KPDNHEP dan sebagai pegawai penguat kuasa walaupun pada mulanya saya tak tahu sangat apa kerja penguat kuasa bila saya mohon kerja.
Cuma ada orang beritahu kerja kamu esok macam tendang-tendang pintu kedai, macam-macamlah. Tapi sebenarnya bila saya masuk, banyak benda yang kita kena belajar. Rupa-rupanya kerja penguat kuasa ini berkait rapat dengan undang-undang kerana apa sahaja yang kita buat mesti ada undnag-undang di belakang kita.
Maknanya kalau kita tak buat ikut undang-undang, nanti orang boleh saman kita. Sebab itu apa sahaja tindakan mesti ikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Apakah cabaran paling besar ketika menjawat jawatan ini?
Sebagai pengarah, saya perlu lihat bagaimana untuk menjadikan penguat kuasa KPDNHEP lebih efektif serta diyakini rakyat dan peniaga. Tugas kami adalah menjaga dua kepentingan. Pertama, kepentingan pengguna, kita hendak melindungi mereka daripada kena tipu, jadi mangsa barangan tiruan, harga mahal dan sebagainya.
Pada masa sama, saya kena bersikap adil juga kepada peniaga sebab tujuan penguatkuasaan ini bukan untuk menganiaya peniaga. Kita hendak pastikan peniaga buat benda betul. Contohnya, jangan mencatut seperti mengambil keuntungan berlebihan. Misalnya, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang beli barangan dengan banyak, berebut dan masa itulah peniaga cuba menaikkan harga dan macam-macam.
Bagaimanakah KPDNHEP dapat memastikan tidak berlaku perbuatan mencatut dan kenaikan harga yang tidak munasabah?
Ada banyak perkara yang saya kena teliti semula. Pertamanya, saya mesti pastikan pegawai-pegawai saya faham hala tuju bahagian penguat kuasa ini. Kalau saya cakap efektif itu maknanya apabila kita ambil tindakan mesti pantas. Bukan kita tunggu kes itu jadi besar, baru nak ambil tindakan.
Contohnya, baru-baru ini ada isu harga ayam. Orang ramai marah sebab harga naik berterusan, jadi kita buat siasatan dan kita dapati masa PKP dulu, ayam tidak laku sebab orang kurang makan ayam kerana sekolah, asrama dan universiti tutup selain orang ramai tidak boleh adakan kenduri. Hotel dan restoran pun tutup.
Permintaan untuk ayam ini tidak ada, jadi harga ayam turun dengan begitu murahi. Bahkan sampai RM3 sekilogram atau ada yang jual tiga ekor RM10. Apabila penternak ayam ini tahu permintaan sedikit, maka mereka telah mengurangkan jumlah ayam di ladang supaya permintaan dan penawaran itu sama dan tidak berlaku kerugian.
Pada ketika itu negara sudah mula buat pemulihan, restoran mula dibuka, orang sudah mula masak ayam, jadi permintaannya meningkat. Ketika itu berlakulah kenaikan harga ayam hingga RM10 sekilogram dan ada rakyat Malaysia tidak berpuas hati. Bila kita siasat kita dapati situasi itu bukanlah berlaku untuk selama-lamanya. Bila bekalan pulih, harga pun kembali stabil. Sekarang harga sudah balik kepada asal sekitar RM7.50 sekilogram.
Jadi untuk menjadi efektif itu bukan sahaja kita tahu apa isunya tapi bagaimana untuk mengatasi isu-isu yang timbul daripada kegiatan ekonomi yang berlaku. Justeru, sebagai persediaan, saya latih penguat kuasa bagaimana untuk menyiasat kes-kes mencatut ini sebab kita sudah ada undang-undang, ada SOP tetapi kalau tidak diajar bagaimana untuk menyiasat, tidak ke manalah undang-undang itu.
Banyak perkara yang perlu dilihat oleh KPDNHEP seperti harga barang dan barang tiruan. Mengikut data KPDNHEP, isu apakah yang paling serius?
Dari segi tindakan, banyak kes melibatkan tanda harga. Bila peniaga tidak letak tanda harga, ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang. Di pasar ada peniaga tidak letak tanda harga ikan dan sayur. Di kedai runcit tidak letak tanda harga pada macam-macam barang. Perbuatan ini kita ambil tindakan. Dalam setahun, ada 5,000 hingga 6,000 kes berkaitan dengan tanda harga sahaja.
Kemudian ada kes alat timbang yang peniaga guna tapi tidak disahkan. Setiap tahun alat timbang ini kena disahkan. Ada inspektor (pegawai) KPDNHEP yang akan memeriksa alat timbang itu sama ada ia menepati piawaian ataupun tidak.
Maknanya kalau kita minta barang sekilogram, betul tidak timbangan sekilogram barang yang diberikan peniaga kepada kita. Ramai peniaga yang ambil mudah perkara ini, maka kita kenakan kompaun dua tiga ratus ringgit.
Tapi bagi saya yang betul-betul serius ialah yang melibatkan barang tiruan. Hari ini kita dapati banyak barang tiruan sebab ada negara yang mengeluarkan barang tiruan menggunakan jenama macam-macam. Contohnya, kasut jenama Nike, dijual pada harga sangat murah berbanding yang asli walaupun dari segi kualiti memang boleh dipersoalkan.
Tetapi kerana mereka hendak cepat jual barang, diletakkan jenama-jenama yang begitu komersial dan orang suka. Kita sedang memikirkan mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah ini.
Pertamanya, kalau orang jual barang tiruan, ia akan menjejaskan cap dagang itu. Contohnya, kasut Adidas, cara syarikat buat kasut itu ada teknik-teknik yang tertentu supaya kasut tahan lama dan pakai lebih bergaya. Tapi bila keluar yang tiruan, nampak macam sama tapi kualitinya kena tengok berapa lama ia boleh bertahan. Itu kalau kasut.
Kita sangat risau makanan tiruan. Contohnya, ada satu produk jus yang orang Melayu kita suka makan yang diperbuat daripada herba dan akar kayu. Jadi ada sebuah syarikat mengeluarkan jus herba yang sangat disukai ramai dan jualan sebulan mencecah 100,000 botol. Tapi apa yang berlaku apabila barang tiruan mula masuk pasaran, tiru produk ini? Akhirnya jualan 100,000 botol turun kepada 40,000. Cuba bayangkan berapa kerugian yang ditanggung?
Orang yang buat produk tiruan pula jual secara dalam talian. Di platform dalam talian ini sesiapa sahaja boleh mendaftar dan jual barangan. Barang tiruan pun dijual tanpa ada siapa ambil tindakan kecuali tuan punya cap dagang itu perasan barang dia yang tiruan dijual, dia akan buat aduan kepada kita.
Penguat kuasa kita sudah mula dilatih untuk menyiasat kes-kes dalam talian ini sebab siasatan dalam talian ini sangat berbeza dengan siasatan secara fizikal. Banyak benda yang kita kena muat turun untuk memastikan bahawa ada kes. Lepas itu kita sudah siapkan SOP berkaitan sistem online. Hari ini pegawai saya dari masa ke masa akan dipanggil mengikuti kursus penyiasatan secara dalam talian.
Merujuk kepada kes jus herba itu, tindakan sedang diambil supaya produk-produk tiruan dapat dikeluarkan daripada pasaran dan mereka yang meniru produk itu boleh diambil tindakan.
Satu lagi kebimbangan saya berkenaan isu-isu penguatkuasaan ini ialah skim cepat kaya. Sangat sukar untuk kita ambil tindakan kerana kadangkala maklumat tidak ada. Orang cuma akan buat aduan bila mereka sudah rugi dan orang yang jadi dalang pelaburan itu sudah lari.
Bercakap tentang penguatkuasaan, kita tidak boleh lari daripada isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Sejauh mana kes-kes ini berlaku di KPDNHEP?
Saya tidak menafikan dalam 2,400 pegawai penguat kuasa KPDNHEP ini ada segelintir yang akan mengambil kesempatan. Tapi saya sebagai pengarah akan memastikan isu-isu integriti ini terkawal. Contohnya, ada pegawai kita yang didakwa di mahkamah kerana mengambil rasuah. Saya puji tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya sangat terbuka, mana-mana pegawai saya yang salah guna kuasa, rasuah, kita bukan sahaja benarkan malah minta SPRM ambil tindakan.
Kita sendiri pun mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang melakukan salah guna kuasa termasuk yang melanggar disiplin. Saya beri contoh, ada banyak kes pegawai-pegawai kita yang lambat menyiasat. Dia sengaja melambatkan siasatan satu-satu kes daripada diambil tindakan. Rampas barang orang beratus ribu ringgit harganya tetapi siasatan tidak dibuat dengan sempurna. Kadang-kadang lewat disebabkan kecuaian pegawai itu. Kecuaian itu pun kita ambil tindakan, kita hadapkan ke lembaga disiplin untuk diambil tindakan tatatertib.
Susulan ancaman Covid-19 terhadap ekonomi negara, bagaimanakah peranan KPDNHEP sendiri dalam membantu peniaga khususnya dari sudut penguatkuasaan?
Saya rasa kementerian telah pun menyahut seruan kerajaan supaya memudahkan urusan perniagaan untuk mereka terus bertahan. Contohnya, sekarang kementerian sudah pun melaksanakan polisi mempermudahkan orang berniaga. Beberapa prosedur yang kita rasa tidak perlu, kita buang supaya mereka dapat cepat menjalankan perniagaan.
Saya beri satu contoh, dulu kalau sesiapa nak buat jualan murah dia mesti menghantar satu notis kepada kita. Biasanya kita mengambil masa lebih kurang 14 hari untuk meluluskan apa-apa notis kepada sesiapa yang hendak menjalankan perniagaan. Hari ini mereka tidak perlu lagi tunggu tempoh 14 hari. Dalam tempoh 24 jam kita akan meluluskan jualan murah mana-mana peniaga. Maknanya hari ini peniaga hantar permohonan menerusi sistem yang telah sediakan, esoknya dia boleh buat jualan murah.
Yang kedua sekarang sedang berjalan Kempen Beli Barangan Malaysia, Program Jualan Malaysia yang semuanya adalah untuk membantu peniaga. Kita juga beri ruang kepada rakyat dan pengguna untuk beli barang pada harga lebih berpatutan. Saya tidak kata murah sangat tapi lebih berpatutan di mana peniaga sanggup mengorbankan sebahagian margin keuntungan mereka untuk memastikan pengguna dapat beli barangan pada harga lebih murah.
Adakah Datuk ada cadangan untuk wujudkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes-kes penipuan perniagaan secara dalam talian?
Kita memang sudah tubuh Unit Digital dan Forensik di Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP pada awal tahun ini. Tujuannya kita nak digitalkan kerja-kerja penguatkuasaan di kementerian ini. Jadi KSU kementerian (Ketua Setiausaha, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad) sudah beri garis masa, dalam tempoh lima tahun kerja-kerja di kementerian ini mesti dibuat secara digital.
Maknanya rekod dan semuanya dibuat secara dalam talian, tidak ada lagi secara fizikal. Contohnya, kita banyak mengeluarkan lesen, permit dan sebagainya, kalau ikut hasrat KSU, kita mahu mengeluarkan semuanya secara dalam talian. Bahkan lesen yang kita keluarkan untuk benarkan orang berniaga juga akan dikeluarkan secara dalam talian.
Begitu juga dari segi tugas penguatkuasaan, kita dah digitalkan beberapa tugas kita. Contohnya, hari ini kita masih dalam projek perintis dan akan dikembangkan di seluruh negara iaitu penguat kuasa perlu bawa gajet sahaja. Mereka bawa gajet seperti telefon pintar, buat pemeriksaan premis dan semua maklumat berkaitan pemeriksaan tersebut akan dimasukkan dalam telefon. Mereka juga akan dibekalkan mesin pencetak bersaiz kecil. Jadi mereka akan cetak apa juga maklumat yang perlu diserahkan kepada peniaga menerusi mesin cetak itu.
Dalam gajet ini kita sudah hubungkan sistem dengan pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara. Dengan inisiatif ini pegawai-pegawai kita akan lebih cepat mengeluarkan maklumat dan maklumat lebih tepat.
Kompaun juga boleh kita keluarkan serta-merta di tempat kejadian. Sistem ini hubungkan dengan Timbalan Pendakwa Raya kita untuk pengesahan dan memberi izin untuk kita mengeluarkan kompaun. Selepas kompaun dikeluarkan, peniaga boleh terus membayar kepada pegawai kita. Justeru, tidak perlu lagi kita buka kertas siasatan yang mengambil masa yang lama. Kita sudah mulakan projek perintis ini dan insya-ALLAH akan dikembangkan ke seluruh negara selewat-lewatnya bulan November ini.
Adakah penggunaan sistem dalam talian ini membantu mengurangkan jumlah kes siasatan?
Sebenarnya penggunaan kaedah dalam talian ini berikan kita banyak masa untuk melakukan kerja-kerja lain. Contohnya, dahulu kita mengambil masa sebulan dua untuk menyiasat satu-satu kes tetapi hari ini dengan adanya sistem dalam talian ini dalam masa beberapa jam sahaja satu-satu kes berjaya diselesaikan. Ia bermakna kita boleh melakukan pemeriksaan di lebih banyak kedai atau lebih banyak tindakan dapat diambil kepada peniaga yang melanggar undang-undang.
PROFIL
Datuk Iskandar Halim Sulaiman
Jawatan sekarang: Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP
Tempoh berkhidmat: 39 tahun
Umur: 59 tahun
Asal: Raub, Pahang
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang
Pengalaman:
-Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Operasi KPDNHEP (2016-2019)
-Pengarah KPDNHEP Sarawak (2002-2015)
-Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis (1998-2002)
ANEKDOT
Hobi tanam pokok bunga
Hobi tanam pokok bungaSaya suka membaca tak kisahlah daripada sumber internet atau buku. Saya juga suka tanam pokok bunga. Tapi sejak jadi Pengarah Penguat Kuasa ini, saya selalu balik lewat. Kadang-kadang waktu hujung minggu pun tak ada di rumah, jadi hobi tanam bunga ini habis macam itu sahaja. Mungkin selepas bersara saya akan mulakan semula hobi ini.
Penjual ikan kejar dengan parang
Pengalaman menarik sepanjang saya berkhidmat yang saya tidak boleh lupa sampai hari ini adalah apabila saya dan pasukan penguat kuasa dikejar dengan parang semasa kami mahu ambil tindakan terhadap peniaga yang jual ikan tanpa letakkan tanda harga. Selepas itu saya dan pegawai saya buat laporan polis. Masa peniaga itu kejar dengan parang, kami ambil langkah seribu, kami larilah.
Tunggu apa lagi, dia pakai parang dan kami masa itu pistol pun tak bawa. Peristiwa itu berlaku di pekan sehari di Temerloh, Pahang semasa saya bertugas sebagai Ketua Cawangan KPDNHEP Temerloh dan mengadakan operasi tanda harga.
Waktu itu peniaga ikan sangat degil untuk letakkan tanda harga. Jadi bila kita tegas, mereka lawan kita balik dan akhirnya kita buat laporan polis dan polis tangkaplah peniaga tersebut. Rupa-rupanya peniaga itu ada masalah mental dan pernah masuk pusat pemulihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!