Ayahanda Tengku Temenggong Kelantan mangkat
KOTA BHARU - Ayahanda Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz iaitu Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah mangkat pada jam 2.37 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
Almarhum Tengku Abdul Aziz yang berusia 87 tahun difahamkan mangkat akibat sakit tua.
Pertubuhan Kerabat D’ Raja Kelantan Al-Muhammadi dalam satu kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan jenazah Almarhum Tengku Abdul Aziz akan dibawa balik ke Kota Bharu dengan menggunakan pesawat khas yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada jam 11.45 pagi.
Jenazah Almarhum Tengku Abdul Aziz kemudiannya akan dibawa ke Istana Balai Besar jam 12 tengah hari.
Almarhum Tengku Abdul Aziz akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar di sini selepas solat jenazah di Masjid D’Raja Long Yunus, Langgar.
Kenyataan itu turut memohon agar persiapan dibuat di Istana Balai Besar.
Pegawai dan kakitangan digalakkan memakai baju Melayu warna putih atau lembut.
Rakyat negeri ini menerusi Facebook turut mengucapkan takziah dan mendoakan Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!