Lelaki kantoi memandu dalam keadaan mabuk
NILAI - Seorang lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Persiaran Korporat di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Noor Marzukee Besar berkata, pemandu berusia 39 tahun itu ditahan pada jam 11.30 malam selepas ujian pernafasan dilakukan mendapati terdapat kandungan alkohol tinggi dalam badannya.
"Ketika ditahan suspek memandu kereta jenis Perodua Alza seorang diri dalam keadaan mencurigakan.
"Ujian awal pernafasan dibuat menggunakan alat SD2+ ke atas suspek dan mendapati terdapat kandungan alkohol yang tinggi di dalam badannya," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk menjalani ujian pernafasan selanjutnya menggunakan alat EBA-II.
"Hasil ujian pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam darah suspek melebihi paras yang dibenarkan iaitu 137mg/100ml.
"Suspek kemudian ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!