Air pasang besar: Pemimpin kawasan diminta beri bantuan awal
SHAH ALAM - Pemimpin setempat perlu mengambil serius amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai air pasang besar dan ribut di beberapa kawasan di negeri ini.
Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail berkata, Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK), biro serta penghulu mukim di kawasan yang terlibat juga diminta berjaga-jaga dengan fenomena itu dan memberi bantuan awal kepada penduduk.
"Berdasarkan informasi jabatan itu beberapa kawasan terutama di pesisir pantai akan terdedah kepada ribut dan air pasang besar.
"Kerajaan negeri pula akan sentiasa bersiap sedia bagi menangani bencana berkenaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan rakyat di negeri terutama penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai atau berhampiran pantai supaya berhati-hati dan bersedia dengan fenomena air pasang besar.
Menurutnya, fenomena itu dijangka dijangka berlaku pada September sehingga November ini melibatkan beberapa lokaliti di lima daerah iaitu Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
"Mengikut maklumat yang diterima, tahap ketinggian maksimum yang dijangkakan mencecah 5.8 meter dan juga pada -tahap tertentu," katanya menerusi siaran video di platform Media Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN: Waspada fenomena air pasang besar di Selangor
Sementara itu, empat rumah penduduk di Kampung Sungai Janggut di sini terjejas berikutan fenomena air pasang besar melanda kampung itu semalam.
Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, hasil pemantauan pada jam 11.30 pagi itu mendapati limpahan disebabkan hakisan teruk pada benteng pantai.
Selain itu, UPBN Selangor memaklumkan terdapat kejadian benteng pecah berlaku di Pantai Morib, Kampung Sawah dan Pantai Kelanang pada jam 6.50 pagi semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena air pasang besar: Empat rumah terjejas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!