Dulu KJSJ Melaka, sekarang TKP Melaka
MELAKA TENGAH - Polis Melaka menerima Timbalan Ketua Polis yang baharu bagi menggantikan Datuk Sun Teoh Tia yang dinaikkan pangkat ke Bukit Aman.
Tempat Teoh Tia akan diisi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor yang juga bekas ketua JSJ Melaka, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim.
Teoh Tia yang menjawat jawatan itu bermula dari 1 Januari 2017 hingga hari ini, akan dinaikkan pangkat kepada Deputi Komisioner di Pulapol esok, dan akan melaporkan diri sebagai Timbalan Pengarah Perancangan dan Strategik Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kamaluddin yang berasal dari Muar, Johor, mula berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1979 dan pernah menjawat jawatan Ketua JSJN Melaka selama setahun satu bulan, sebelum berpindah ke Johor, Januari tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!