Perginya Tho, si anjing K9 yang banyak jasa
KUANTAN - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang kehilangan salah satu aset hidup apabila anjing pengesan bernama Tho mati petang semalam.
Kematian anjing berusia 12 tahun lapan bulan itu dimaklumkan melalui Facebook JSJ Kontinjen Pahang hari ini dan disahkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Menurut kenyataan melalui Facebook, anjing pengesan jenis German Shepherd itu mati kira-kira jam 7.30 petang semalam akibat sakit tua.
Tho yang dilahirkan pada 30 Januari 2008 berkhidmat di Unit Anjing Pengesan (K9) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sejak 1 Jun 2018, namun sebelum itu di IPK Johor.
Kenyataan itu turut memaklumkan, Tho banyak menyumbang khidmat dalam siasatan dan menjadi anjing pengesan bagi membantu kes narkotik di bawah seliaan anggota K9, Sarjan Patrick Ak Sandai.
"Sakit tua adalah punca kematian Tho, namun sebagai aset kerajaan anjing ini akan melalui proses bedah siasat untuk mendapatkan laporan perubatan berhubung punca kematiannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!