Perkeso Terengganu terima 77 permohonan SIP

Nora (empat dari kanan) bersama sebahagian penerima bayaran SIP oleh Perkeso.
Nora (empat dari kanan) bersama sebahagian penerima bayaran SIP oleh Perkeso.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu menerima 77 permohonan kehilangan pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada tahun ini.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 60 pemohon yang kehilangan pekerjaan diluluskan berdasarkan kelayakan masing-masing manakala selebihnya sedang diproses.

“Perkeso mengeluarkan perbelanjaan bayaran faedah elaun mencari pekerjaan sebanyak RM132,000 kepada 60 pencarum yang layak selepas permohonan mereka diluluskan.

“Pencarum yang disahkan kehilangan pekerjaan dan memenuhi syarat kelayakan akan mendapat faedah seperti elaun mencari pekerjaan, elaun bekerja semula awal, elaun pendapatan berkurangan, elaun latihan dan yuran latihan,” katanya pada Majlis Penyampaian Faedah SIP Perkeso di Dewan Redang, Wisma Perkeso di sini, hari ini.

Menurutnya, IP mula dilaksanakan pada 1 Januari 2018 sebagai satu jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baharu.

“Kita membantu 128 pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk kembali bekerja semula sepanjang tahun lalu. Perkeso komited dalam menguatkuasakan dasar kerajaan bagi memastikan semua pekerja yang layak dilindungi di bawah SIP sejak ia dilaksanakan,” katanya.

Nora berkata, perlindungan SIP meliputi semua majikan di sektor swasta iaitu majikan dan pekerja perlu mencarum 0.4 peratus daripada gaji bulanan bagi mendapatkan faedah di bawah SIP.

“Caruman majikan adalah 0.2 peratus dan caruman pekerja juga 0.2 peratus iaitu bayaran caruman tertinggi bagi SIP hanya RM7.90 sebulan iaitu berjumlah RM15.80 bagi kedua-dua syer majikan dan pekerja.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu kita harap majikan dapat mencarum SIP sebagai manfaat kepada pekerja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!