Kecil jangan disangka anak

Generasi muda adalah pewaris masa hadapan - Foto sumber internet
Generasi muda adalah pewaris masa hadapan - Foto sumber internet
A
A
A

SUDAH menjadi lumrah manusia menganggap sesuatu yang besar sebagai hebat, gagah, atau kuat manakala yang kecil dianggap lemah dan tidak penting.

Bagi membetulkan pemikiran jumud manusia ini, bijak pandai dahulu kala mengetengahkan peribahasa yang berbunyi ‘kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa’.

Ia antara lain menunjukkan bahawa pengetahuan dan kemampuan tidak semestinya dimiliki oleh orang tua sahaja, bahkan boleh juga dikuasai oleh anak muda.

Peribahasa ini mengingatkan penulis tentang tanggapan warga sedia ada terhadap orang muda yang baru menyertai organisasi.

Kebanyakan warga lama melihat orang muda sebagai tidak matang dan anak hingusan yang belum arif akan tendang terajang dunia pekerjaan, justeru mereka belum layak diiktiraf atau dinaikkan pangkat dengan cepat.

Bagi penulis, pengiktirafan dan kenaikan pangkat tidak harus disandarkan kepada faktor usia atau tempoh perkhidmatan, sebaliknya prestasi dan potensi yang dipamerkan oleh pekerja.

Pengiktirafan bersifat terbuka ini selari dengan tuntutan organisasi masa kini yang amat mementingkan daya saing sumber manusia.

Artikel Berkaitan:

Teori dan kajian dalam pengurusan organisasi menunjukkan bahawa pengiktirafan yang mementingkan prestasi sebenar berbanding kekananan (seniority) menjadi pencetus budaya kerja berprestasi tinggi.

Persaingan yang sihat dalam kalangan warga juga boleh membangunkan modal insan secara menyeluruh agar segera keluar dari zon selesa dan bersiap siaga dengan kemahiran masa hadapan berteraskan Industri 4.0.

Perkembangan teknologi digital organisasi masa kini dan masa hadapan memperlihatkan peralihan ke arah pemerkasaan kemahiran dalam simulasi dan realiti maya, integrasi sistem, Internet Untuk Segalanya (IoT), kemahiran data analitik, keselamatan siber, pengkomputeran awan, integrasi sistem, analisis data raya dan robotik automasi.

Isyarat

Kesemua perkembangan teknologi ini memberi isyarat kepada pekerja lama dalam kalangan generasi X (lahir 1961 – 1980) dan Y (lahir 1981 – 1994) supaya bersedia mendepani perubahan yang berlaku di persekitaran dalam organisasi.

Persediaan ini termasuklah berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar mereka terus malar segar walaupun zaman telah berubah.

Jika mereka tidak bersedia untuk berubah dan terus berada dalam zon selesa, tidak mustahil tempat dan kedudukan mereka akan beransur-ansur diambil alih oleh generasi Z (lahir 1995 – 2010) dan Alpha (lahir 2011 – kini).

Generasi Z dan Alpha yang turut digelar generasi milenial menjadikan teknologi, gajet dan media sosial sebagai sebahagian daripada hidup mereka.

Mereka memperuntukkan secara puratanya enam ke tujuh jam seminggu daripada masa mereka di media sosial. Generasi Alpha yang lahir dalam era kepesatan dan kemajuan teknologi pula bagaikan si kembar siam kepada suatu gajet canggih, sehinggakan mereka seolah-olah tidak boleh meneruskan kehidupan tanpa gajet.

Golongan ini sangat mudah menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa yang menjadi pencetus teknofobia dan teknostres kepada generasi X dan Y.

Walaupun pengalaman bekerja dan kematangan emosi terletak di tangan generasi X dan Y, penguasaan kemahiran dan teknologi baharu dalam kalangan generasi Z dan Alpha tidak boleh dinafikan.

Hakikatnya, proses pembelajaran mereka yang pendek dalam mempelajari teknologi baharu menyebabkan generasi X dan Y yang enggan berubah beransur-ansur menjadi tidak signifikan kepada organisasi.

Keberadaan generasi X dan Y dalam organisasi masih ditagih terutamanya mereka yang berpengalaman, berprestasi tinggi dan bersikap terbuka kepada pembaharuan.

Pengalaman luas dan kematangan emosi ditambah keupayaan menguasai kemahiran Industri 4.0 melayakkan generasi X dan Y menjadi malim dan pembimbing orang muda.

Pada masa yang sama, orang muda harus diberi peluang menunjukkan bakat serta keupayaan mereka, lantaran mereka adalah pewaris organisasi pada masa hadapan.

Harus juga diingat bahawa generasi X dan Y tidak menongkat langit! Oleh itu, berilah ruang dan peluang kepada anak kecil dan anak muda meneroka dunia dan meluaskan pandangan mereka agar mereka mampu menjadi sehebat bapa-bapa mereka.

* Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah profesor daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!