Pulau Pinang tak pandang mudah baki perlawanan

Endrick Dos Santos meraikan jaringan gol semasa Pulau Pinang menentang Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Premier di Stadium Bandaraya malam kelmarin.
Endrick Dos Santos meraikan jaringan gol semasa Pulau Pinang menentang Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Premier di Stadium Bandaraya malam kelmarin.
A
A
A

PULAU Pinang bertekad memberikan aksi terbaik pada baki tiga perlawanan bagi merangkul pula trofi Liga Premier musim ini setelah mengesahkan slot ke saingan CIMB Liga Super musim depan.

Ketua jurulatihnya, Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata, hasrat itu diharap mampu direalisasikan pemain Harimau Kumbang dalam usaha melengkapkan musim gemilang skuad Haria Penang Haria berkenaan.

Malah menurutnya, kejayaan merangkul trofi Liga Premier kali ini ditujukan khas kepada penyokong setia Harimau Kumbang itu.

“Untuk baki perlawanan nanti, kita akan cuba berikan aksi yang terbaik dan menghadiahkan satu lagi kejayaan iaitu muncul juara Liga Premier musim ini.

“Lagi pun, Pulau Pinang masih belum pernah bergelar juara Liga Premier dan ini adalah kesempatan terbaik untuk berbuat demikian. Lagi pun kita tengok peluang (untuk muncul juara Liga Premier) itu masih ada, jadi tak salah rasanya kalau kita mencuba.

“Insya-ALLAH, kita akan cuba berikan aksi terbaik baki perlawanan nanti dan merealisasikan hasrat untuk muncul juara Liga Premier kali ini,” kata Manzoor Azwira kepada Sinar Harian.

Pulau Pinang menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya Pulau Pinang kelmarin hasil jaringan dua bintang importnya, Endrick Dos Santos Parafita pada minit ke-45 dan Rafael Vitor Santos de Freita (90’) manakala Kuala Lumpur memperolehi gol saguhati hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-71.

Kemenangan itu menyaksikan Pulau Pinang gah di puncak Liga Premier dengan 17 mata hasil lima kemenangan dan dua seri daripada tujuh perlawanan manakala Kuala Lumpur berada pada kedudukan kedua juga dengan 17 mata hasil lima kemenangan dan dua seri daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Manzoor Azwira nyata terharu sambutan diberikan penyokong Pulau Pinang di luar Stadium Bandaraya kelmarin bagi meraikan kejayaan skuad Haria Penang Haria itu ke saingan CIMB Liga Super musim depan.

Manzoor Azwira Abdul Wahid
Manzoor Azwira Abdul Wahid

Oleh itu katanya, kejayaan layak ke CIMB Liga Super kali ini diibaratkan sebagai hadiah ‘terbesar’ kepada penyokong Pulau Pinang yang sudah lama mahu menyaksikan skuad Harimau Kumbang itu kembali ke liga elit negara itu.

“Syukur alhamdulillah, kita berjaya berikan hadiah yang besar kepada penyokong dan rakyat Pulau Pinang yang telah lama mengimpikan untuk beraksi dalam saingan CIMB Liga Super,” kata jurulatih itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!