Pemimpin Warisan hina pejuang Lahad Datu: Anifah

Anifah Aman
Anifah Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman kesal dengan ucapan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) berhubung pasukan keselamatan.

Anifah menerusi satu kenyataannya hari ini berkata, beliau kecewa apabila melihat klip video yang memaparkan Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi memberi ucapan berbaur penghinaan terhadap anggota keselamatan yang sanggup menggadai nyawa demi pertahankan kedaulatan negara.

"Sepanjang peristiwa pertempuran Lahad Datu di Tanduo 2013, seramai 235 pengganas telah mendarat di bumi Sabah dari Pulau Siminul, Filipina. 10 orang anggota keselamatan Malaysia telah terkorban dalam pertempuran tersebut termasuk dalam beberapa serangan hendap.

"Pemimpin Warisan ini telah menyifatkan pengorbanan mereka sebagai 'sandiwara'," katanya.

Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, kemudian mempersoalkan tindakan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang dilihat tidak menghormati pasukan keselamatan di negara ini.

"Di manakah rasa hormat pemimpin Warisan ini kepada anggota keselamatan Malaysia yang telah terkorban semasa mempertahankan kedaulatan bumi Sabah?

"Ucapan beliau boleh disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada Sabah," katanya.

Bekas Menteri Luar itu turut menyifatkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamaddin menunjukkan pemimpin Warisan tidak menghargai pengorbanan wira negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Jelas sekali kenyataan yang dikeluarkan menunjukkan betapa buta mata serta hati parti Warisan terhadap pengorbanan wira-wira negara, sekali gus melukakan hati keluarga dan rakan-rakan seperjuangan anggota keselamatan kita.

"Perbuatan dan pengkhianatan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima dan seharusnya Warisan muhasabah dan malu dengan kenyataan yang jijik ini," katanya.

Sehubungan itu, Anifah mahu rakyat di negeri ini menolak pimpinan Warisan.

Terdahulu, satu klip video berdurasi dua minit 30 saat yang memaparkan ucapan Mohamaddin dalam satu majlis dipercayai membabitkan Warisan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!