10,000 dijangka meriahkan sambutan Tahun Baru Cina peringkat Kedah

Simon (kiri) bertanya khabar seorang penghuni, Tai Kim Chi, 76 (kanan) selepas penyampaian sumbangan. Turut kelihatan Kee Tong (dua kiri).
Simon (kiri) bertanya khabar seorang penghuni, Tai Kim Chi, 76 (kanan) selepas penyampaian sumbangan. Turut kelihatan Kee Tong (dua kiri).
A
A
A

KUALA NERANG - Pelbagai acara menarik disediakan pada sambutan Tahun Baru Cina 2019 peringkat Kedah di River Front City, Sungai Petani yang dijangka dihadiri 10,000 orang pengunjung pada 9 Februari ini.

Exco Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar, Simon Tze Min berkata, program bakal dimeriahkan dengan keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Arif yang turut mencemar duli.

Menurutnya, turut turun padang untuk bertemu masyarakat yang berbilang kaum adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Pelbagai persembahan tarian dan muzikal Cina termasuk kaum-kaum lain, pameran, tarian naga dan pelbagai program menarik lain akan disediakan pada program tersebut yang bermula jam 4 petang sehingga jam 11 malam.

“Majlis ini terbuka kepada semua kaum dan kami jangkakan kira-kira 10,000 pengunjung yang akan hadir,” katanya selepas meraikan 14 penghuni warga emas Rumah Bethel Hill sempena Majlis Sumbangan Ang Pau Gong Xi Fa Chai, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Negeri Kedah 2019 berkata, pihaknya gembira dengan keberangkatan Sultan Kedah dan Sultanah Kedah untuk bersama-sama rakyat Sungai Petani dan juga yang datang dari daerah sekitarnya.

Terdahulu, Simon sempat beramah mesra dengan semua penghuni termasuk meninjau rumah penjagaan warga emas itu yang memerlukan perhatian dan bantuan berterusan dari masyarakat sekitar.

Hadir sama Ahli Majlis Daerah Padang Terap, Ong Keen Tong.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!