Anwar gagal batal saman pengampunan penuh kes liwat


ANWAR
ANWAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh terhadapnya, yang dipenjara atas kesalahan meliwat.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu, selepas mendapati Mohd Khairul Azam selaku plaintif mempunyai 'locus standi' atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman berkenaan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd Khairul Azam ketika ditemui media di luar prosiding berkata, kes berkenaan tidak sesuai untuk dibatal tanpa dibicarakan dalam mahkamah.

Menurutnya, tiada halangan mahkamah untuk mendengar balik merit memandangkan apa yang dicabar itu adalah nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu Akhtar berkata, ketika prosiding dalam mahkamah, sebagai cabang eksekutif, Yang di-Pertuan Agong hanya membuat keputusan selepas mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan.

Menurut Akhtar, persoalannya adalah perkara yang dicabar plaintif adalah nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan dan bukan keputusan pengampunan.

"Dalam kes saman ini, plaintif adalah orang awam dan juga sebagai peguam yang mempunyai 'locus standi'.

"Jika ia membabitkan kuasa eksekutif, maka mengapa ia tidak boleh didengar dan dibicarakan di mahkamah?" kata Akhtar ketika prosiding hari ini.

Artikel Berkaitan:

Akhtar berkata, ia bukan satu kes saman pemula yang boleh ditolak begitu saja pada peringkat ini.

Sebelum itu, saman pemula difailkan pada 26 Februari lalu, Khairul Azam berkata, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang akhbar pada 11 Mei 2018, mengumumkan Yang di-Pertuan Agong bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan rayuan pengampunan Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan adalah tidak sah dan terbatal.

Dalam prosiding itu, Anwar diwakili J Leela manakala Peguam Kanan Persekutuan, Natra Idris mewakili Lembaga Pengampunan.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 hingga 26 Mac 2021 sebagai sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!