Enam mayat PATI Indonesia negatif Covid-19
KOTA TINGGI - Ujian saringan koronavirus (Covid-19) terhadap mayat enam pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang ditemui di pesisir Pantai Teluk C, Bandar Penawar dekat sini semalam adalah negatif.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, ujian saringan terhadap enam lelaki PATI yang selamat dan ditahan semalam juga negatif Covid-19.
"Oleh itu, kesemua mayat PATI warga Indonesia termasuk mereka yang terselamat tidak membawa virus Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, enam PATI dipercayai warga Indonesia termasuk dua wanita ditemui lemas ketika cuba memasuki negara ini menerusi pesisir Pantai Teluk C pada jam 1 tengah hari.
Mangsa maut iaitu empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 31 hingga 46 tahun itu dipercayai lemas selepas turun daripada bot pancung dinaiki mereka disebabkan ombak besar.
Hussin berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana PATI yang cuba memasuki negara ini secara tidak sah walau apa juga faktor yang mendesak kehadiran mereka ke negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN Enam mayat dipercayai PATI ditemui di pantai
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, punca PATI masuk ke negara ini atas beberapa faktor penarik dan satu daripadanya adalah peluang ekonomi.
Jelasnya, desakan ekonomi dihadapi mereka sendiri apabila tiada peluang pekerjaan di negara asal menyebabkan mereka cuba memasuki negara ini secara haram.
"Golongan ini dapat menjana peluang pendapatan atau gaji yang tinggi seperti dijanjikan berbanding gaji di negara asal.
"Daripada segi sosial pula, golongan ini dapat meningkatkan taraf hidup keluarga mereka yang tinggal di negara asal sekali gus dapat meneruskan kelangsungan hidup yang lebih baik berbanding di negara asal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!