Hina wira negara: Azmin gesa rakyat Sabah tolak Warisan
SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa rakyat Sabah menolak Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
Gesaan itu dibuat selepas pemimpin Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap wira-wira negara yang terkorban dalam peristiwa Lahad Datu.
"Seteguh Gunung Kinabalu, saya yakin orang-orang di Lembah Kinabalu juga teguh mempertahankan kedaulatan rakyat dan tanah air kita.
"Ayuh pertahankan kampung dan negeri kita, tolak Warisan dalam pilihan raya negeri kali ini," katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.
Beliau turut mengecam kenyataan bekas menteri Kabinet itu yang memperlekeh jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan kedaulatan Sabah.
Sejak awal pagi tadi, satu klip rakaman video sepanjang dua minit 30 saat tular di media sosial dengan memaparkan Mohamaddin berucap ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang rancak berlangsung.
Beliau didakwa memperlekehkan insiden Tanduo itu sambil berkata, anggota keselamatan terbabit sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!