Pirlo beri bayangan rehatkan Ronaldo
PENGENDALI Juventus, Andrea Pirlo memberi bayangan akan merehatkan Cristiano Ronaldo selepas penyerang utamanya itu membantu penyandang juara Serie A berkenaan mengatasi Sampdoria 3-0 pada aksi di Stadium Allianz, Turin.
Bagaimanapun menurut bekas pemain tengah Juventus berusia 41 tahun itu, penyerang Portugal berkenaan berkemungkinan direhatkan dalam perlawanan tidak berprofil tinggi pada musim ini.
“Saya akan melihat kepada keperluan situasi perlawanan musim ini kerana semua tahu Ronaldo bukan jenis pemain yang suka berada di bangku simpanan pemain setiap masa. Kami sedang memikirkan dan meneliti bagaimana cara untuk menggunakan khidmat Ronaldo.
“Ronaldo sebenarnya masih belum berdepan keletihan kerana saingan liga baru sahaja bermula, cuma saya mahu meletakkan dia berada pada tahap kecergasan terbaik sebelum berdepan sesuatu perlawanan.
“Jadual saingan liga musim ini panjang dan padat apatah lagi terpaksa berdepan saingan Eropah selain domestik. Kami akan melihat kepada perlawanan yang kurang penting bagi merehatkan Ronaldo.
“Ronaldo adalah seorang pemain yang bijak dalam menjaga kecergasan tubuh badannya, pastinya dia lebih mengetahui bila masa untuk bermain dan merehatkan tubuh badannya. Apapun mungkin pemilihan waktu rehat kami akan serah kepadanya menentukannya,” katanya.
Pada aksi menentang Sampdoria, pemain berusia 35 tahun itu turut membantu gergasi Itali berkenaan menyingkap saingan liga dengan langkah kanan apabila menyumbangkan gol pada minit ke-88.
Dua gol tuan rumah lagi sebelum itu dijaringkan Dejan Kulusevski pada minit ke-13 dan Leonardo Bonucci (78) sekali gus memastikan tiga mata pertama The Old Lady pada perlawanan berkenaan.
Juventus bakal meneruskan kempen mempertahankan kejuaraan Serie A dengan berkunjung ke Stadium Olimpico menentang AS Roma pada awal pagi Ahad ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!